Lelaki Palestin Kongsi Pengalaman Sambut Aidilfitri Di Malaysia
Setiap kali tibanya Syawal, seluruh umat Islam di Malaysia menyambut lebaran dengan suasana penuh meriah serta gelak tawa setelah berjihad melawan nafsu di bulan Ramadan.
Tidak dinafikan setiap negara mempunyai cara, tradisi dan keunikan tersendiri dalam menyambut 1 Syawal, begitu juga dengan Malaysia.
Itulah pengalaman yang dikongsikan oleh seorang lelaki Palestin ketika pertama kali menyambut Hari Raya Aidilfitri di negara berbilang kaum ini.
“Merasa pengalaman menyambut Hari Raya Aidilfitri di Malaysia adalah sesuatu yang istimewa,” tulis lelaki berkenaan di TikTok @waleedmaoed.
Suasana Hari Raya Di Malaysia

Menurut Waleed, dia mengakui suasana Aidilftri di sini sangat berbeza namun masih mempunyai persamaan seperti Umat Islam akan pergi ke masjid untuk menunaikan Solat Sunat Aidilfitri.
“Hari ini saya akan tunjukkan kepada anda bagaimana sambutan Hari Raya Aidilfitri di Malaysia.
“Perkara pertama untuk memulakan hari ini, saya sedang menuju ke Masjid Wilayah untuk solat sunat Aidilfitri.
“Tidak dapat saya menggambarkan dengan kata-kata keindahan suasana Raya di Malaysia.
“Alhamdulillah, Selamat Hari Raya. Sekarang, kami akan tunjukkan apa yang orang ramai lakukan selepas solat sunat Aidilfitri di sini,” katanya.
Kongsi lelaki Palestin itu, sebaik sahaja menunaikan solat, masyarakat di sini akan pergi ziarah-menziarahi ke rumah terdekat, sahabat, serta sanak-saudara.
Timbunan Kasut

Perkara pertama yang jelas dilihatnya adalah banyak timbunan kasut di pintu masuk rumah.
“Saya sedang masuk ke rumah pertama. Anda boleh lihat timbunan kasut di luar rumah. Seluruh ahli keluarga ada di sini,” katanya.
Juadah Raya
Lebih menarik, dia mendapati kebanyakan juadah yang dihidangkan di rumah hanya boleh dijumpai ketika Aidilfitri sahaja.
Antaranya, ketupat, lemang dan rendang yang menjadi simbolik tiap kali perayaan ini tiba.

“Kita ada semua juadah raya di sini, ada lemang, ketupat, rendang dan kita akan cuba semua ni.
“Alhamdulillah..” kongsinya sambil mengakui kesedapan juadah raya tersebut.
Baginya, perkara yang menarik ketika lebaran di Malaysia adalah dapat melihat deretan kasut di hadapan pintu selain pelbagai juadah raya yang dihidangkan kepada tetamu tak ubah seperti bufet.
