Bila pergi bercuti ke sesuatu tempat, biasanya kita akan bawa pulang gambar, video dan kenangan manis.
Tapi kadang-kadang, ada sesebuah negara yang meninggalkan kesan lebih daripada itu.
Sampai satu tahap, kita dah balik ke negara sendiri pun masih teringat-ingat suasana, makanan dan cara hidup di tempat tersebut.
Itulah yang dialami seorang lelaki dari Perancis selepas pulang dari Malaysia.
Menerusi hantaran yang dikongsikan Hismat di TikTok, dia mengakui dirinya seperti “gagal” untuk kembali menjalani kehidupan normal di negaranya.
Tak Boleh Move On, Lelaki Perancis Teringatkan Malaysia
Menurut perkongsian itu, pengalaman berada di Malaysia membuatkan rutin hariannya terasa berbeza apabila dia kembali ke Perancis.
Suasana, makanan dan perkara kecil yang pernah dinikmatinya di sini masih bermain di fikiran.
Namun, satu perkara yang membuatkan dirinya begitu merindukan Malaysia adalah budaya rakyat tempatan yang gemar memanggil sesiapa sahaja 'boss'.
“Nobody calls me ‘boss’ anymore”
Dalam hantaran itu, lelaki berkenaan berkongsi bahawa tiada lagi orang memanggilnya “boss” selepas dia pulang ke Perancis.
Bagi rakyat Malaysia, panggilan yang mungkin kedengaran biasa itu sebenarnya meninggalkan kesan tersendiri kepadanya.
Di Malaysia, gelaran “boss” sering digunakan ketika berurusan atau berbual secara santai, termasuk dengan pelanggan dan orang yang baru dikenali.
Bagi lelaki itu, panggilan mesra tersebut nampaknya menjadi sebahagian daripada pengalaman hariannya sepanjang berada di Malaysia. Apabila pulang ke Perancis, barulah terasa suasana itu sudah tiada.
Sementara itu, menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya turut bersetuju dengan perkara berkenaan dan mengakui ia sudah menjadi satu kebiasaan di negara ini.
“Belum kena lagi makcik jual nasi lemak panggil sayang,” seloroh seorang pengguna.
“Boss minum apa mau,” komen seorang lagi.
“Hai boss. Semua orang di sini 'Boss'” seloroh pengguna lain.
Kadang-kadang, perkara kecil seperti sapaan ringkas pun boleh menjadi kenangan yang membuatkan seseorang rindu.
