Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

LINDUNG 24 Jam: Wanita Tergelincir Depan Rumah Ketika Cuti, Boleh ‘Claim’ Atau Tak?

CLAIM LINDUNG 24 JAM

LINDUNG 24 Jam: Wanita Tergelincir Depan Rumah Ketika Cuti, Boleh ‘Claim’ Atau Tak?

“Saya tidak pernah menyangka kemalangan boleh berlaku hanya kerana tergelincir di hadapan rumah ketika sedang bercuti”

Itulah kata-kata yang dilontarkan oleh seorang wanita yang terpaksa menelan realiti pahit menahan kesakitan akibat tergelincir di hadapan rumah sehingga kakinya terseliuh dan disyaki ligamen di bahagian kaki beliau koyak.

Kejadian itu juga menyebabkan pergerakannya terbatas dan tidak dapat meneruskan tugasnya untuk sementara waktu. Situasi beliau menjadi bukti bahawa kemalangan boleh berlaku di mana-mana sahaja, walhal di rumah sendiri yang setiap hari kita diami juga.

Mengikut semakan, insiden tersebut berlaku di kawasan kediaman ketika Nur Irdina Tahirah sedang cuti dan berada di rumahnya, serta tidak menjalankan tugasan rasmi, tidak berada di premis majikan dan juga tidak berada dalam perjalanan berkaitan pekerjaan.

Walau bagaimanapun, kes ini telah memenuhi takrif ‘bukan bencana kerja’ di bawah Seksyen 2(14A) Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 yang melayakkan Nur Irdina dipertimbangkan menerima manfaat LINDUNG 24 Jam. Menurut kenyataan dikeluarkan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), beliau dikatakan layak menerima Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS).

Rentetan itu, beliau layak menerima Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) sepanjang tempoh cuti sakit yang disahkan oleh pegawai perubatan. Faedah ini membantu menggantikan kehilangan pendapatan ketika beliau tidak dapat bekerja, sekali gus memberi ruang dan tumpuan sepenuhnya kepada proses rawatan dan pemulihan.

LINDUNG 24 Jam Bermula 1 Jun 2026

LINDUNG 24 Jam merupakan satu skim perlindungan yang disediakan oleh PERKESO bagi melindungi pencarum secara menyeluruh walaupun ketika bukan waktu berkaitan pekerjaan. Skim yang bermula 1 Jun 2026 ini telah melibatkan 9 juta pekerja formal yang mencarum.

Buat masa sekarang, masih ada yang menganggap PERKESO hanya melindungi mereka sewaktu bekerja atau dalam perjalanan pergi-balik kerja, namun dengan penguatkuasaan LINDUNG 24 Jam, pencarum kini boleh dilindungi daripada kemalangan di luar waktu kerja demi memastikan kebajikan mereka sentiasa di jaga.

Tapi bagaimana nak faham situasi seperti apa yang membolehkan pencarum menikmati faedah Skim LINDUNG 24 jam ini? Analoginya mudah sahaja, apa-apa kemalangan yang berlaku di luar waktu kerja, pencarum boleh menikmati faedah ini, namun ada beberapa syarat yang perlu dipatuhi. Antara contohnya seperti:-

Pencarum bawa keluarga pergi bercuti ketika hujung minggu, berlaku kemalangan tidak disangka. Kes ini layak untuk terima faedah LINDUNG 24 jam asalkan percutian di dalam Malaysia.

Seseorang pekerja dalam waktu tidur di rumahnya, bermimpi dan terjatuh sehingga cedera anggota badan, pun layak untuk terima faedah LINDUNG 24 jam.

Pencarum sertai aktiviti gotong-royong kenduri, ada sesi sembelih lembu tapi malangnya lembu terlepas dan serang pencarum hingga akibatkan kecederaan. Situasi ini juga termasuk dalam skim kemalangan bukan bencana kerja yang layak dapat faedah LINDUNG 24 Jam.

Dah sampai rumah lepas balik kerja, tapi patah balik ke tempat kerja untuk ambil barang, berlaku kemalangan dan boleh menikmati faedah Skim LINDUNG 24 Jam.

Dalam perjalanan balik ke kampung halaman pada hari cuti, pencarum terlibat kemalangan dan berkelayakan untuk terima faedah Skim LINDUNG 24 jam.

LINDUNG 24 Jam memberi peluang kepada pencarum untuk menikmati perlindungan yang lebih menyeluruh. PERKESO menggalakkan pencarum untuk kekal menyertai skim ini agar manfaat perlindungan dapat terus dinikmati apabila diperlukan kelak. Pada masa yang sama, pilihan untuk dikecualikan (opt-out) turut disediakan kepada mereka yang ingin berbuat demikian melalui perakuan pelepasan liabiliti.

"Ini bagi memastikan tiada sebarang implikasi perundangan di bawah Akta 4 sekiranya berlaku kemalangan atau kecederaan kepada pencarum di luar waktu kerja," menurut Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Bagi pekerja tempatan yang memilih ke arah ini, anda boleh merujuk Artikel Ini bagi cara membuat pilihan secara dalam talian.

Manfaat Skim LINDUNG 24 Jam Secara Menyeluruh

Walaupun pekerja tempatan diberi pilihan untuk dikecualikan, tapi dinasihatkan untuk mengikut peribahasa ‘sepuluh kali ukur, sekali kerat’ yang mana perlu fikir masak-masak sebelum buat pilihan. Bukan apa, faedah yang mungkin dinikmati pencarum secara menyeluruh ini tak dapat kita nafikan, diri dilindungi setiap masa walaupun sedang melakukan apa-apa aktiviti di luar masa pekerjaan.