Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan lonjakan trafik kepada dua juta kenderaan sehari bersempena cuti Krismas dan hujung tahun bermula 23 Disember (esok) hingga 2 Januari 2023.
Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata lebih daripada 1.8 juta kenderaan direkodkan secara konsisten berikutan bermulanya cuti sekolah.
“Berdasarkan corak perjalanan pelanggan dan data trafik ketika cuti perayaan dan cuti hujung tahun yang lalu, kami menjangkakan kira-kira 2 juta kenderaan akan melalui rangkaian lebuh raya kami setiap hari.
“Oleh itu, pelanggan lebuh raya disarankan untuk mengikuti jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA),” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, orang ramai turut dinasihatkan bersedia untuk menempuh tempoh perjalanan yang lebih panjang ekoran peningkatan trafik yang berlaku pada ketika ini.
Zakaria berkata pengguna lebuh raya dari Lembah Klang yang akan menuju ke destinasi jauh seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara) dan Johor, mereka dinasihatkan untuk memasuki lebuh raya sebelum 10 pagi.
Sementara itu, bagi orang ramai yang menuju ke lokasi yang lebih dekat juga dinasihatkan untuk memasuki lebuh raya di antara jam 12 tengah hari hingga 4 petang.
Selain itu, bagi pengguna lebuh raya yang menuju ke Lembah Klang dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara), Johor dan negeri-negeri lain, mereka dinasihatkan untuk memasuki lebuh raya sebelum jam 10 pagi.
“TTA bertujuan untuk mengagihkan trafik dan mengurangkan kesesakan di lebuh raya, terutamanya di laluan-laluan kritikal, plaza tol dan kawasan rehat sepanjang musim perayaan ini.
“Ia direka untuk mengelakkan pelanggan yang menuju ke destinasi yang lebih jauh ‘bertembung’ dengan kumpulan kenderaan yang menuju ke destinasi yang lebih dekat.
“Dengan mematuhi TTA, ia boleh memberikan pengalaman perjalanan pelanggan lebuh raya yang lebih baik,” jelas Zakaria.
Difahamkan, arahan pemberhentian kerja juga telah dikeluarkan oleh PLUS di mana tiada penutupan lorong bermula 23 Disember hingga 26 Disember serta antara 30 Disember hingga 1 Januari 2023 untuk mengelakkan kesesakan di lebuh raya.
“Walau bagaimanapun, penutupan lorong mungkin terpaksa diadakan bagi membolehkan kerja-kerja pengalihan kenderaan yang terlibat di dalam kemalangan, kerja pembersihan di lokasi kemalangan dan kerja-kerja pembaikan yang kritikal atas sebab keselamatan,” tambah beliau.
Orang ramai dinasihatkan untuk bersedia secara fizikal dan mental untuk perjalanan jauh selain berhati-hati ketika memandu.
Turut diingatkan juga supaya memastikan kad Touch ‘n Go atau e-wallet mempunyai baki yang mencukupi bagi mengelakkan sebarang kesulitan.
Sumber: PLUS