Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lubang 'Gergasi' Di Aceh Terus Melebar, Pakar Dedah Punca Sebenar
Kejadian runtuhan tanah besar di Pondok Balik, Daerah Ketol di Aceh, Indonesia baru-baru ini masih terus membesar dan menjadi ancaman serius kepada penduduk berhampiran.
Ketua Pusat Penyelidikan Kebencanaan Geologi Badan Riset dan Inovasi Nasional (BRIN), Adrin Tohari berkata, kejadian itu bukanlah fenomena lubang benam seperti yang banyak diperkatakan oleh orang ramai.
Menurut Adrin, kawasan itu secara geologinya tidak terdiri daripada batu kapur, yang biasanya menjadi punca berlakunya lubang benam. Namun, ia terjadi akibat mendapan dari aliran yang berupa tufa hasil daripada letusan gunung berapi Geurendong yang tidak lagi aktif.
"Kejadian yang berlaku di Aceh itu bukan lubang benam, tetapi disebabkan oleh lapisan tufa yang tidak padat dan tidak begitu kuat sehingga menyebabkan ia mudah runtuh," jelas Adrin lagi.
Selain dari faktor geologi dan juga gempa, hujan lebat juga turut menjadi punca utama. Batuan tufa yang rapuh itu mudah menyerap air sehingga menyebabkan ia tidak mampu mencengkam dan akhirnya runtuh.
Bukan itu sahaja, keadaan lereng yang cerun dan curam akibat runtuhan sebelum ini juga turut memburukkan lagi keadaan.
"Air dari saluran pengairan kebun sekitar juga turut menyumbang kepada kejadian ini. Aliran air yang deras dan meresap ke dalam tanah meningkatkan kelembapan lapisan tufa dan memperbesar risiko berlakunya runtuhan," jelasnya lagi.
Beliau juga berpendapat bahawa terdapat aliran air bawah tanah di sempadan antara lapisan aliran lahar yang lebih padat di dasar tebing dengan batu tufa yang rapuh di atasnya.
Hakisan di bahagian kaki lereng oleh air dari tanah juga menyebabkan bahagian atas tebing kehilangan sokongan dan menyebabkan ia runtuh secara berperingkat.
Fenomena ini tidak berlaku secara tiba-tiba, sebaliknya mengambil proses yang lama sehingga ratusan tahun.
Gempa bumi dan hujan juga berperanan untuk mempercepatkan proses semula jadi pembentukan lubang tersebut.
Bagi kes ini, BRIN masih belum melakukan kajian lapangan secara langsung di lokasi, namun pihaknya telah menjalankan analisis berdasarkan data.
"Setakat ini kami hanya menganalisis kejadian ini berdasarkan data serta maklumat dari orang awam dan penyelidikan yang lebih komprehensif juga akan dilakukan bagi mengetahui punca secara terperinci," kata Adrin lagi.
Tambah beliau, kajian lanjutan boleh dijalankan menggunakan kaedah geofizik seperti tinjauan geoelektrik, seismik refleksi atau micrometer bagi mengenal pasti struktur bawah permukaan dan puncanya.
Adrin juga menekankan pentingnya pengurusan air di kawasan permukaan supaya tidak meresap ke dalam tanah, penetapan zon bahaya serta pemasangan amaran awal tanah runtuh.
Beliau juga mengingatkan masyarakat agar waspada sekiranya tanda-tanda awal seperti kemunculan retakan tanah yang berlaku.