Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

“Saya boleh menulis 10,000 perkataan mengenai masalah yang berlaku dalam FIFA. Namun, penyelesaiannya hanya memerlukan tiga perkataan: Infantino mesti berundur,” tulis Figo dalam akhbar Daily Mail pada Rabu.
Bekas penyerang Portugal itu terus memberi tekanan terhadap Presiden FIFA, Gianni Infantino, dengan mengkritik keras rancangan penjualan sebahagian pegangan Piala Dunia kepada pelabur swasta serta menggesa beliau meletakkan jawatan segera.
“Saya mencintai bola sepak sepanjang hidup saya. Saya pernah menjadi pemain profesional selama 20 tahun. Dan percayalah, saya telah bertemu dengan pelbagai individu yang tidak berintegriti sepanjang berada dalam dunia bola sepak.
“Namun, apa yang saya lihat terbongkar dalam tempoh 10 hari terakhir ini adalah antara tingkah laku paling rendah, penuh penipuan dan mementingkan diri sendiri yang pernah saya saksikan.
“Individu yang sanggup melakukan perkara sedemikian, yang cuba memaksa perubahan besar hanya untuk memperkayakan dirinya dan rakan-rakannya, adalah peninggalan masa lalu bola sepak dan tidak sepatutnya mempunyai tempat dalam masa depan sukan ini,” katanya.
Figo yang pernah menarik diri daripada saingan merebut jawatan Presiden FIFA pada 2015, turut menegaskan bahawa Infantino telah mencemarkan jawatan tertinggi badan bola sepak dunia itu.
“Beliau telah berbohong, memperdayakan dan cuba mengutamakan kepentingan dirinya sendiri dengan mengorbankan sukan yang sepatutnya beliau perjuangkan,” kata Figo.
Bekas pemain Real Madrid dan Barcelona itu turut mendakwa Infantino telah kehilangan sokongan daripada pegawai kanan FIFA, penasihat terdekatnya serta majoriti individu yang mendedikasikan hidup mereka kepada bola sepak.
“Beliau telah kehilangan sokongan daripada kakitangan kanannya, penasihat terdekatnya, majoriti mereka yang mengabdikan hidup kepada sukan ini dan malah, nampaknya, penerima Anugerah Keamanan FIFA sendiri (Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump).
“Sudah terlambat untuk menyelamatkan maruahnya, tetapi masih belum terlambat untuk menyelamatkan bola sepak. Beliau perlu berundur. Sekarang,” katanya.
Sementara itu, Infantino berdepan tekanan hebat selepas cadangan kontroversinya untuk menjual 20 peratus pegangan Piala Dunia kepada pelabur ekuiti swasta menerusi entiti FIFA Forward Enterprise mencetuskan kritikan meluas.
Rancangan itu ditolak oleh tiga konfederasi bola sepak benua, sekali gus memaksa FIFA membatalkan cadangan berkenaan.
Dalam usaha meredakan ketegangan, Infantino mengadakan perbincangan tergempar bersama beberapa pengarah FIFA di Maghribi pada Rabu, menurut sumber kepada AFP.
Sebelum ini, beliau mempertahankan cadangan tersebut dengan mendakwa ia mampu meningkatkan pendapatan untuk semua negara anggota FIFA, namun turut berdepan tentangan susulan kebimbangan terhadap perubahan format Piala Dunia kepada setiap dua tahun berbanding empat tahun sekali.