Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lukisan Menakjubkan Darwisy Mustafani Sekali Lagi Berada Di Istana
Dalam dunia seni, ada karya yang hanya dinikmati seketika, dan ada pula yang kekal menjadi warisan apabila disimpan, dihargai dan dikenang sepanjang zaman.
Sejak dahulu, karya seni mampu meraih nilai yang tinggi, terutama jika ia berjaya menarik perhatian pembeli yang benar-benar menghargai keunikan dan kehalusannya.
Malah, ada yang sanggup membayar ribuan hingga jutaan ringgit demi memiliki hasil seni idaman.
Bagi para pengkarya, saat karya mereka dihargai menjadi detik yang sangat bermakna, satu pengiktirafan terhadap usaha, bakat dan sentuhan peribadi yang dicurahkan.
Inilah yang dilalui oleh Darwisy Mustafani, seorang pelukis muda berbakat, apabila salah satu hasil seninya kini berada di Istana Alam Shah, Selangor.
Kisah menarik ini bermula apabila Darwisy menerima satu mesej peribadi (DM) di TikTok daripada seseorang yang menyatakan hasrat untuk menempah lukisan bertemakan “Bunga Tanjung”.
Setelah berbual melalui telefon, barulah Darwisy dimaklumkan bahawa tempahan itu sebenarnya adalah untuk DYMM Tengku Permaisuri Selangor.
Beliau turut diberi tempoh hingga 30 Jun untuk menyiapkan karya berkenaan, dan diminta menghasilkan sebuah lukisan yang kelihatan eksklusif dan mewah.
Darwisy kemudian menghantar tiga cadangan reka bentuk melalui proposal, dan reka bentuk kedua yang diberi nama “Bunga Tanjung Kelopak 9″ telah dipilih untuk dihasilkan.
Sebagai langkah awal, Darwisy memulakan pencarian kain songket di Pasar Payang, Terengganu.
Beliau memilih songket sutera eksklusif bernilai RM4,800. Namun, setelah rundingan, beliau berjaya mendapatkannya pada harga RM4,500.
Seterusnya, beliau memotong kain mengikut saiz yang dikehendaki sebelum memulakan proses melukis.
Setelah lukisan siap, Darwisy menampal kristal Swarovski membentuk motif bunga tanjung yang terdiri daripada sembilan kelopak.
Menurutnya, sembilan kelopak itu mewakili sembilan daerah dalam Negeri Selangor, manakala bunga tanjung pula ialah bunga rasmi negeri tersebut.
Lukisan siap dibingkaikan dan dihantar ke Lumut, Perak untuk diserahkan kepada DYMM Permaisuri Selangor sebelum dipindahkan ke Istana Alam Shah.
Darwisy turut berkongsi reaksi DYMM Permaisuri Selangor ketika melihat lukisan tersebut.
“Permaisuri kelihatan amat gembira. Baginda juga menyentuh lukisan dan menyebut, ‘Wahhh…’,” kata wakil yang menghubungi Darwisy.
Dalam perkongsiannya di TikTok, Darwisy menulis:
“Menjunjung kasih DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin. Semoga lukisan patik ini dapat menghiasi dinding Istana Alam Shah, Selangor.”

Sebagai makluman, ini bukan kali pertama Darwisy menerima tempahan istimewa.
Sebelum ini, beliau pernah menghasilkan potret Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
Karya yang juga dilukis di atas songket itu ditempah oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sempena Istiadat Pengurniaan Darjah Kepahlawanan Pasukan Polis dan Pingat Keberanian (DKPP) 2024.
BACA: Sentuhan Seni Pemuda Hasilkan Potret Agong, Raja Permaisuri Atas Songket Jadi Tumpuan
BACA: Muhammad Ziyad Khatam 30 Juzuk Al-Quran Dalam Tempoh 1 Bulan 27 Hari
BACA: Tunku Mahkota Ismail Cadang Gaji Minimum RM4,000 Untuk Lepasan Universiti Di JS-SEZ
Sumber: @wisyilukis via TikTok