Sentuhan Seni Pemuda Hasilkan Potret Agong, Raja Permaisuri Atas Songket Jadi Tumpuan
Tiada siapa menyangka, dengan hanya berbekalkan minat dalam seni, seorang pemuda berbakat berpeluang untuk melukis potret Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
Muhammad Darwisy Mustafani, 23, berkongsi bahawa lukisan potret yang dihasilkannya di atas kain songket itu sebenarnya ditempah oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Potret tersebut akan dipersembahkan di Istana Negara sempena Istiadat Pengurniaan Darjah Kepahlawanan Pasukan Polis dan Pingat Keberanian (DKPP) 2024 yang berlangsung pada Rabu.
“Sebenarnya, PDRM hubungi saya di TikTok, sebab sebelum ini ada lukisan yang saya lukis atas songket viral juga.
“Mulanya saya tidak tahu perlu buat lukisan untuk Istana Negara sebab PDRM cuma kata ‘VVVVVVIP’. Saya sudah jangka mungkin perlu buat lukisan untuk orang penting.
“Tetapi tidak tahu pula perlu buat lukisan untuk dijadikan hadiah kepada Agong dan Raja Permaisuri. Bukit Aman hubungi, baru saya tahu,” katanya.
Kongsi pemuda berbakat itu, dia mengambil masa hampir tiga minggu untuk menyiapkan karya istimewa tersebut.
Walaupun tidak berpeluang menghadiri istiadat rasmi yang hanya terbuka kepada PDRM, dia tetap gembira dan bangga akan pencapaiannya.
“Saya tidak dapat pergi sebab istiadat rasmi yang tertutup untuk PDRM tetapi saya tetap gembira apabila nampak lukisan saya berada di depan Tuanku dalam istana.
“Sebelum ini saya banyak hasilkan karya yang orang lain tidak pernah buat seperti lukis atas kulit kelapa, durian, tembikai, pelitup muka dan banyak lagi tetapi kali ini karya di atas songket yang mendapat perhatian.
“Saya pasang impian suatu hari nanti ada lukisan saya yang dapat diletakkan dalam balai seni negara,” ujarnya.
Video penghasilkan potret cecah 2.7 juta tontonan, buat ramai kagum
Dalam pada itu, Darwisy turut berkongsi proses menghasilkan potret istimewa ini di laman TikToknya, @wisyilukis, yang menjadi tumpuan ramai.
Setiap langkah dalam penghasilan potret yang penuh teliti itu mendapat perhatian warga maya, yang kagum melihat kehalusan seninya.
@wisyilukis Lukisan saya dah masuk Istana Negara! 🥹🫶🏻 Lukisan potret untuk DYMM SPB Yang Di-Pertuan Agong & DYMM SPB Raja Permaisuri Agong. Tak pernah expect akan dapat peluang macamni… lukisan ni saya hasilkan atas samping songket & ambil masa lebih kurang 3 minggu🥹👍🏻 #art #istananegara
Menjengah ke ruangan komen, ramai yang meluahkan rasa bangga dan kagum dengan bakat luar biasa anak muda ini.
“Halusnya seni dia. Memang wajar masuk Istana Negara,”
“Sungguh berseni. Atas kain songket lagi tu. Hebat anak muda,”
“Walaupun hanya lukisan, ia seperti ‘hidup’,”
“Tahniah. Inilah kenangan paling mahal dan berharga. Bukan senang nak hantar lukisan ke Istana Negara. Semoga maju jaya,”
Tidak ketinggalan, ada juga yang melihat usaha Darwisy ini sebagai bukti keupayaan generasi muda dalam mengangkat warisan bangsa secara kreatif.
“Saya rasa lukisan yang menyentuh elemen kesultanan Melayu adalah sangat susah kerana perincian terlalu banyak. Melihat awak menghasilkan karya ini membuat saya bangga sebagai rakyat Malaysia,”
“Inilah bukti anak muda mampu mengangkat warisan bangsa secara kreatif. Tahniah, anak muda,”
BACA: Persembahan ‘Eh Wau Bulan’ Guru Malaysia & Pelajar Korea Raih Perhatian
BACA: Ini 7 Warisan Budaya Malaysia Dalam Senarai UNESCO
BACA: Rupanya, Ini Asal Usul Wayang Kulit Yang Ramai Tak Tahu
Sumber: Sinar Harian, TikTok @wisyilukis