Rupanya, Ini Asal Usul Wayang Kulit Yang Ramai Tak Tahu
Tayangan filem Venom: The Last Dance baru-baru ini mencuri perhatian antarabangsa apabila ia turut menyelitkan salah satu konsep warisan ‘Wayang Kulit Malaysia’.
Hasil karya oleh Fusion Wayang Kulit ini berjaya menarik minat ramai yang mungkin sebelum ini tidak begitu mengenali atau menghargai seni warisan nusantara ini.
Dengan gabungan elemen moden dan klasik, karya ini mempamerkan keunikan bahasa dan loghat Kelantan yang terus kekal, sekaligus menghidupkan kembali budaya yang semakin jarang diketengahkan dalam kalangan masyarakat hari ini.
Namun sebagai rakyat Malaysia, sejauh manakah kita mengetahui sejarah dan asal usul wayang kulit ini di era modenisasi.
Seni ini pada dasarnya ‘dihidupkan’ hanya oleh segelintir kecil komuniti tertentu, menyebabkan ia kurang dikenali di kalangan generasi muda.
Malah, ada juga individu yang sepanjang hidupnya tidak pernah berpeluang menonton persembahan wayang kulit.
Maka, SK hari ini ingin membawa pembaca bersama-sama menyelami sejarah asal usul wayang kulit yang sememangnya unik ini.
Asal Usul Wayang Kulit
Wayang kulit sebenarnya mempunyai sejarah yang panjang.
Mengejutkan, siapa sangka bahawa wayang kulit sebenarnya pertama kali ditemukan di China dan India sebelum dibawa ke Asia Tenggara.
Di China, wayang kulit dipercayai muncul semasa pemerintahan Maharaja Wu dari Dinasti Han.
Menurut legenda, seorang ahli silap mata mencipta bayang-bayang di sebalik langsir yang menyerupai gundik kesayangan Maharaja Wu yang telah meninggal dunia, sebagai usaha untuk mengubati kesedihan baginda.
Manakala, di India, tradisi wayang kulit ini dapat dilihat melalui mural-mural di kuil-kuil dan lukisan naratif yang mengisahkan kisah mitos dan agama.
Dari kedua-dua negara ini, wayang kulit dibawa ke rantau Asia Tenggara, termasuk Tanah Melayu, sebelum kedatangan Islam.
Pada mulanya, wayang kulit berfungsi sebagai alat penceritaan lisan yang menghiburkan masyarakat setempat.
Jenis-Jenis Wayang Kulit di Malaysia
Ketika wayang kulit diperkenalkan di Tanah Melayu, ia banyak dipengaruhi oleh cerita epik dari India, seperti Ramayana, yang merupakan kisah cinta klasik.
Terdapat lebih daripada 300 versi Ramayana di India, dan apabila sampai ke Tanah Melayu, cerita ini diolah mengikut budaya tempatan, menjadikannya lebih dekat dengan masyarakat setempat.
Wayang kulit di Malaysia berkembang dalam pelbagai jenis bentuk penceritaan, termasuk dongeng, cerita tauladan, serta kisah-kisah perang.
Meskipun terdapat beberapa jenis wayang kulit yang wujud di Malaysia, hanya satu sahaja yang masih aktif dipersembahkan hingga hari ini.
Berikut adalah tiga jenis utama wayang kulit yang wujud di Malaysia:
1. Wayang Kulit Kelantan

Wayang Kulit Kelantan dipengaruhi oleh Thai Shadow Puppet dan menggunakan loghat Kelantan dalam persembahannya.
Ini kerana wayang kulit ini menerima pengaruh yang kuat dari masyarakat Patani di Kelantan.
Seni ini masih aktif dan dipersembahkan hingga ke hari ini, mengekalkan tradisi asal yang mempesonakan penonton dengan kisah-kisah mitos dan epik.
2. Wayang Jawa / Purwo

Jenis wayang ini dahulunya terkenal di negeri-negeri seperti Selangor dan Johor.
Uniknya wayang kulit ini, ia dipengaruhi oleh tradisi masyarakat Jawa, yang kuat dan mencerminkan kebudayaan mereka.
Wayang Jawa atau Purwo biasanya dipersembahkan di kawasan yang mempunyai pengaruh Jawa yang tinggi.
Kisah-kisah yang dipentaskan sering kali berkisar kepada mitos-mitos Jawa klasik.
3. Wayang Gedek

Wayang Gedek pula hanya boleh dijumpai di negeri Kedah.
Ia dipengaruhi oleh masyarakat Thailand di kawasan utara Semenanjung Malaysia.
Berbeza dengan Wayang Kulit Kelantan, Wayang Gedek tidak mengambil inspirasi dari Ramayana.
Sebaliknya, ia menumpukan kepada penceritaan kisah-kisah rakyat tempatan dan juga cerita-cerita popular dari Thailand.
Wayang Kulit Hari Ini
Kini, seni wayang kulit tidak lagi terhad kepada persembahan tradisional semata-mata.
Terdapat usaha yang giat dilakukan untuk menggabungkan elemen-elemen moden dalam persembahan, seperti penggunaan muzik kontemporari dan lagu-lagu dari pelbagai budaya, termasuk lagu Hindustan.
Ini memberikan nafas baru kepada seni ini dan menjadikannya lebih relevan dengan selera penonton masa kini.
Beberapa organisasi tempatan, terutama badan bukan kerajaan (NGO), telah berusaha untuk memperkenalkan dan memelihara seni warisan ini.
Contohnya, PUSAKA, sebuah NGO yang aktif dalam memperkenalkan wayang kulit di peringkat antarabangsa.
Antara usaha mereka termasuk persembahan di Festival Le’Imaginaire di Paris pada tahun 2007, serta lawatan 40 hari di Amerika Syarikat pada tahun 2015.
Mereka juga telah mengadakan bengkel-bengkel di Singapura untuk mempromosikan seni ini kepada khalayak yang lebih luas.
Selain itu, seni wayang kulit turut dipelihara di institusi pengajian tinggi, seperti di universiti-universiti kesenian tempatan.
Persatuan-persatuan seni juga terus berusaha mempromosikan dan memelihara seni ini supaya tidak dimamah zaman agar dipertontonkan pada generasi akan datang.
“Selagi manusia hidup, wayang kulit juga akan hidup,” kata Pensyarah Kanan Muzik Tradisional Melayu UiTM, pemuzik tradisional melayu dan seniman wayang kulit, Encik Mohd Kamrulbahri Hussin.
Kata-kata beliau itu menggambarkan betapa seni warisan ini masih relevan dan mempunyai tempat dalam jiwa masyarakat Malaysia, selagi ada yang berminat dan berusaha untuk memeliharanya.
Wayang Kulit Warisan Nusantara
Wayang kulit sebenarnya adalah seni persembahan yang menjadi hak milik bersama masyarakat Nusantara kerana ia telah wujud jauh sebelum kewujudan entiti Malaysia dan Indonesia.
Dalam konteks ini, wayang kulit tidak hanya terhad kepada satu negara atau satu budaya sahaja, tetapi dianggap sebagai warisan kolektif yang dimiliki bersama oleh masyarakat yang tinggal di rantau tersebut.
Berkembang pesat di Asia Tenggara, wayang kulit merangkumi pelbagai budaya dan tradisi, di samping mempunyai identiti dan gaya tersendiri.
Oleh kerana ia telah lama wujud dan menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat Nusantara sebelum terbentuknya negara-negara moden, ia dianggap sebagai khazanah bersama yang tidak boleh ‘dituntut’ secara eksklusif oleh mana-mana negara.
Ini juga bermaksud bahawa tanggungjawab untuk melestarikan dan memelihara seni ini tidak terletak pada satu pihak sahaja, tetapi menjadi tanggungjawab bersama masyarakat di seluruh rantau ini.
Dengan perkembangan moden dan cabaran yang dihadapi oleh seni tradisional, adalah penting untuk memastikan bahawa seni warisan seperti wayang kulit terus dihargai dan dipelihara.
Ia bukan hanya sebagai simbol identiti budaya, tetapi juga sebagai warisan berharga yang menghubungkan kita dengan sejarah panjang dan kaya di Nusantara.
BACA: Selepas Batik, Sony Pictures Curi Perhatian Dengan Venom Wayang Kulit Pula
BACA: Buku Setebal 674 Muka Surat Ditulis Untuk Jawab Soalan Kenapa 1+1=2, Ini Sebabnya
BACA: Ini 5 Telur Termahal Di Dunia
Sumber: Eksentrika, JKKN