Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Syarikat nadir bumi Australia, Lynas Rare Earths Ltd memeterai perjanjian jangka panjang dengan syarikat bioteknologi Korea Selatan, JS Link Inc bagi membangunkan sebuah kilang magnet kekal nadir bumi di Kuantan, Pahang yang dijangka mewujudkan sehingga 400 peluang pekerjaan baharu.
Menerusi satu kenyataan, Lynas berkata perjanjian pembekalan eksklusif itu akan menyaksikan syarikat berkenaan membekalkan bahan nadir bumi kepada kilang magnet JS Link di Yesan, Korea Selatan serta kilang baharu yang bakal dibina di Kuantan sehingga Januari 2028 pada harga komersial.
Menurut Lynas, JS Link juga telah memperoleh tapak pembinaan kilang magnet kekal nadir bumi berhampiran loji bahan termaju Lynas Malaysia di Kuantan.
“Kilang magnet di Kuantan dijangka mewujudkan sehingga 400 peluang pekerjaan baharu di Malaysia,” menurut kenyataan itu, lapor South China Morning Post.
Katanya, magnet yang dihasilkan kelak disasarkan untuk memenuhi permintaan rantaian bekalan dalam industri automotif, tenaga angin dan pembuatan elektronik di pasaran utama termasuk Malaysia serta Korea Selatan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Interim Lynas Rare Earths, Pol Le Roux berkata projek tersebut merupakan satu langkah penting dalam memperkukuh pembangunan industri nadir bumi yang mampan di Malaysia.
“Ia juga menyokong sasaran pertumbuhan Towards 2030 kami untuk memperluaskan rantaian bekalan logam dan magnet di luar China,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif JS Link, Jun Y. Lee berkata kerjasama strategik bersama Lynas akan membantu syarikat itu membangunkan rantaian nilai magnet kekal yang lebih stabil dan cekap.
“Melalui kerjasama dengan Lynas ini, JS Link berbesar hati dapat menyumbang secara positif kepada ekonomi Malaysia, Australia dan Korea Selatan,” ujarnya.
Menurut Lynas, kilang magnet di Kuantan itu bakal mempunyai kapasiti pengeluaran sehingga 3,000 tan setahun bagi menghasilkan magnet kekal tersinter neodimium-besi-boron (NdFeB).
Sebagai sebahagian daripada kerjasama tersebut, Lynas turut akan melabur kira-kira AS$50 juta dalam ekuiti biasa JS Link bagi menyokong pembangunan kilang berkenaan.
Sebelum ini, pada April lalu, Lynas mengumumkan rancangan untuk memperluaskan portfolio pengeluaran nadir bumi yang diproses di Malaysia sebagai usaha mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pembekal utama nadir bumi di luar China.