Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Bukan sekali dua, malah didakwa sudah bertahun-tahun keadaan jalan masuk ke pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) Petaling Jaya menjadi rungutan orang ramai.
Terbaharu, keadaan jalan yang dipenuhi lubang dan lopak air di lokasi itu kembali tular selepas seorang pengguna Threads berkongsi pengalamannya ketika berurusan di situ.
Pengguna dikenali sebagai @mirzaafiqbeg menerusi satu hantaran malam tadi meluahkan rasa kecewa terhadap keadaan jalan masuk ke premis berkenaan yang didakwanya masih belum dibaiki sehingga kini.
“Kepada JPJ Petaling Jaya. Dah bertahun keadaan jalan entrance keluar macam ni.
“Nak tunggu lubang terus masuk?!?!
“Do something about it la ffs,” tulisnya.
Dalam video yang dikongsikan, kelihatan permukaan jalan di lokasi itu dipenuhi lubang besar dan lopak air sehingga menimbulkan kebimbangan boleh menyebabkan kerosakan pada kenderaan pengunjung.
Tinjauan di ruangan komen mendapati ramai netizen mendakwa masalah tersebut bukan isu baharu, malah sudah lama berlaku.
Seorang pengguna, @tangoalphazulu99 berkata keadaan itu didakwa tidak banyak berubah sejak dia mengambil lesen memandu sekitar tahun 1985.
“Daripada masa aku amik lesen tahun 1985 dulu memang macam ni,” ujarnya.
Dalam pada itu, seorang lagi pengguna, @dojo.77 berkata dia pernah bertanyakan perkara itu kepada salah seorang pegawai ketika hadir ke lokasi berkenaan.
Menurutnya, pegawai tersebut memaklumkan kawasan itu dipercayai merupakan tanah pajakan dan pihak JPJ dikatakan bakal berpindah dalam masa terdekat.
“I did ask one of the officers the last time I went there sebab memang jalan macam kena bom.
“Saya samar-samar ingat dia ada cakap tanah tu cuma dipajak atau tanah simpanan dan mereka akan berpindah tak lama lagi,” katanya.
Sementara itu, pengguna @shehydraa pula mencadangkan supaya orang ramai membuat aduan rasmi menerusi aplikasi Respon Rakyat.
“Ambik video dan gambar, buat aduan dekat apps Respon Rakyat. Haritu saya buat aduan, dalam masa 14 hari terus diturap jalan,” katanya.
Rata-rata pengguna yang pernah berurusan di lokasi sama turut menyuarakan keluhan serupa dan berharap pihak berkaitan dapat mengambil tindakan segera sebelum keadaan bertambah buruk atau mengundang kemalangan.