Bagi sesetengah orang, cawan minuman yang dibeli di kedai kopi mungkin sekadar bekas untuk menikmati minuman sebelum dibuang selepas selesai digunakan.
Namun, bagi sebahagian yang lain, ada satu lagi bahagian pada cawan yang menjadi perhatian iaitu cup sleeve.
Dengan pelbagai rekaan, warna dan ilustrasi yang menarik, cup sleeve kini bukan sekadar berfungsi melindungi tangan daripada haba.
Ada yang sanggup menyimpannya kerana tertarik dengan reka bentuk yang unik, comel atau mempunyai nilai tersendiri.
Malah, tidak kurang juga yang menjadikan cup sleeve sebagai koleksi kecil.
Setiap satu mempunyai cerita dan kenangan tersendiri, terutama apabila rekaan berkenaan hanya dikeluarkan untuk tempoh tertentu atau sempena kempen khas.
Koleksi cup sleeve makin bertambah
Baru-baru ini, perkongsian seorang pengguna Threads, @aidasafiah, mencuri perhatian ramai selepas dia menunjukkan koleksi cup sleeve yang dikumpulnya.
Jumlah cup sleeve yang semakin banyak itu secara tidak langsung menunjukkan kekerapan dia membeli minuman di kafe, terutama apabila setiap pembelian hadir bersama rekaan cup sleeve yang berbeza.

“Gini uolls, simpan macam mana? Bagi idea sikek gaisss, macam tak terkawal dah ni,” tulisnya sambil memohon cadangan daripada pengguna lain tentang cara terbaik menyimpan koleksi berkenaan.
Perkongsian itu ternyata mengundang perhatian netizen, lebih-lebih lagi apabila jumlah cup sleeve yang dikumpulnya sudah semakin banyak.
Netizen kongsi idea simpan cup sleeve
Menjengah ke ruangan komen, pelbagai cadangan menarik turut dikongsikan netizen mengenai cara menyimpan koleksi cup sleeve tersebut.
Menjengah ke ruangan komen, netizen tidak melepaskan peluang berkongsi pelbagai idea kreatif untuk menyimpan koleksi cup sleeve itu.

Ada yang mencadangkan supaya cup sleeve disusun dalam jurnal atau album agar reka bentuknya lebih teratur dan mudah dilihat semula.

Tidak kurang juga yang menyarankan supaya setiap helaian ditebuk lubang sebelum diikat menggunakan ring, sekali gus menjadikannya seperti buku koleksi.

Bagi yang mahu sesuatu lebih ringkas, ada juga yang mencadangkan cup sleeve disimpan dalam fail lutsinar atau kotak khas supaya tidak rosak, berhabuk atau berkedut.
Dengan cara itu, koleksi yang dikumpul sedikit demi sedikit boleh kekal kemas dan menjadi kenangan tersendiri.

