MADANI Mart Dalam Perancangan, Sasar Tawar Barangan Pada Harga Berpatutan
Perancangan mengenai penubuhan kedai runcit komuniti yang dikenali sebagai MADANI Mart telah dibincangkan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi bersama pihak Yayasan MADANI semalam.
Menerusi satu perkongsian di Facebook, Farhan berkata MADANI Mart merupakan sebuah inisiatif bagi mewujudkan rangkaian kedai runcit berasaskan komuniti bertujuan menyediakan barangan keperluan berkualiti pada harga yang lebih adil dan berpatutan.

Fokus utama inisiatif itu pula adalah untuk menyokong kesejahteraan rakyat, khususnya di kawasan luar bandar dan separa bandar.
“Semoga pelaksanaan MADANI Mart berjalan lancar sebagai langkah proaktif kerajaan dalam meringankan beban kos sara hidup rakyat secara berkesan dan inklusif,” katanya.

Perbincangan itu juga turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh.
