Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Mahkamah Rayuan Kurangkan Ganti Rugi KJ Kepada RM830,000

BERNAMA
ganti rugi kj
Kredit: Bernama

Mahkamah Rayuan Kurangkan Ganti Rugi KJ Kepada RM830,000

PUTRAJAYA, 19 Feb (Bernama) -- Mahkamah Rayuan hari ini mengurangkan jumlah ganti rugi yang diberikan kepada bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin daripada RM2.5 juta kepada RM830,000 dalam saman fitnahnya terhadap perayu berhubung hantaran media sosial berkaitan vaksin COVID-19.

Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan bersidang bersama Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin dan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Shahril Mohd Salleh mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung liabiliti, namun meminda jumlah ganti rugi.

Mahkamah yang membenarkan rayuan perayu mengurangkan ganti rugi am daripada RM2 juta kepada RM500,000 serta ganti rugi teladan daripada RM250,000 kepada RM80,000, manakala ganti rugi teruk sebanyak RM250,000 dikekalkan.

Pada 25 Jan 2022, Khairy, 50, atau lebih dikenali sebagai KJ, memfailkan saman terhadap perayu, atas dakwaan membuat beberapa kenyataan fitnah termasuk menyiarkan tiga video dan gambar di Instagram pada 20 Okt 2021 serta pada 6 dan 10 Jan 2022.

Menyampaikan keputusan sebulat suara mahkamah, Mohamed Zaini berkata fitnah yang dilakukan perayu bukan sahaja mencemarkan reputasi bekas Ahli Parlimen Rembau itu, malah berpotensi menjejaskan kepentingan awam kerana hantaran berkenaan boleh mempengaruhi orang ramai supaya tidak mengambil vaksin.

“Perayu yang menampilkan dirinya sebagai pendakwah agama tertakluk kepada standard tanggungjawab dan tahap kewaspadaan yang lebih tinggi apabila membuat kenyataan kepada umum.

“Masyarakat meletakkan kepercayaan, rasa hormat dan autoriti moral yang tinggi terhadap individu yang mempunyai kedudukan agama. Pengikutnya secara munasabah cenderung menerima kenyataan pendakwah sebagai benar dan berteraskan moral,” katanya.

Beliau berkata perayu, 46, mempunyai tanggungjawab lebih besar untuk mengesahkan ketepatan kenyataannya sebelum menyebarkannya.

Dengan memilih untuk menerbitkan dakwaan tidak disahkan, palsu dan berunsur fitnah terhadap Khairy, beliau menyalahgunakan kedudukan autoriti moral serta mengeksploitasi kepercayaan masyarakat terhadap tokoh agama.

Katanya terdapat lapan penerbitan berasingan dan Khairy berhak menuntut ganti rugi bagi setiap satu daripadanya.

"Bagaimanapun, ganti rugi am dalam kes fitnah bertujuan memberi pampasan, bukan untuk memperkayakan. Walaupun tiada jumlah tetap bagi ganti rugi dalam kes fitnah, jumlah itu mestilah berkadar dan selaras dengan trend kehakiman semasa.

“Terdapat suatu tempoh apabila mahkamah menganugerahkan jutaan ringgit dalam kes fitnah yang berjaya. Era itu sudah berakhir dan kita tidak berhasrat untuk melihatnya berulang,” katanya.

Mahkamah turut mengambil kira sikap perayu yang disifatkan degil, manakala permohonan maaf yang dikemukakan didapati seolah-olah bersifat sinis. Atas alasan itu, ganti rugi teruk sebanyak RM250,000 dikekalkan.

Pada April tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan perayu membayar RM2.5 juta kepada Khairy. Perayu kemudian mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung jumlah ganti rugi.

Pada prosiding hari ini, peguam Lejerod Limpuong mewakili perayu manakala peguam Abdul Rashid Ismail bertindak bagi pihak Khairy.

Sumber:BERNAMA