Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Dalam keinginan menikmati juadah kegemaran, orang ramai disarankan periksa makanan sebelum beli bagi memastikan ia dimasak dengan sempurna dan tidak hangus.
Makanan yang dibakar atau digoreng di bazar sering membuatkan ramai kecur liur. Aroma sedikit hangus yang terhasil menambah selera ketika berbuka puasa.
Namun, tahukah anda. Di sebalik kesan hangus itu terdapat bahan kimia yang berpotensi memudaratkan kesihatan.
Bahan tersebut dikenali sebagai acrylamide.
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pembentukan acrylamide berpotensi menjadi bahaya jika dimakan dengan kerap.
Mari kenali bahan kimia yang terbentuk secara tidak sengaja ini.
Acrylamide merupakan bahan pepejal berbentuk kristal yang tidak berwarna atau tidak berbau.
Bahan ini boleh bertindak balas dengan kuat apabila berada dalam keadaan cecair.
Apabila dipanaskan, bahan ini boleh menghasilkan wap berbau tajam. Acrylamide digunakan untuk menghasilkan satu lagi bahan kimia iaitu polyacrylamide.
Polyacrylamide pula banyak digunakan dalam proses rawatan air sisa.
Kedua bahan ini digunakan dalam penghasilan kanta sentuh, kosmetik dan tekstil.
Namun, acrylamide juga boleh terbentuk dalam makanan kaya karbohidrat.
Bahan ini akan terbentuk apabila makanan tersebut digoreng, dipanggang atau dibakar pada suhu yang tinggi.
Sistem saraf merupakan sasaran utama ketoksikan acrylamide. Antara kesan yang pernah dilaporkan termasuk kelemahan otot dan kebas di bahagian kaki dan tangan.
Selain itu, pergerakan yang tidak stabil dan peluh berlebihan turut dilaporkan.
Namun, kebanyakan orang tidak terdedah pada tahap yang tinggi.
Berikutan dapatan kajian terhadap manusia yang terhad, beberapa agensi kesihatan membuat kesimpulan bahawa bahan kimia ini berkemungkinan bersifat karsinogen kepada manusia.

Berikutan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia berkongsi beberapa petua untuk elak daripada terbeli makanan yang hangus dengan menjadikan juadah apam balik sebagai contoh.
“Tengok warna permukaan. Kalau hampir gelap rata, itu tanda dah terlebih masak.
“Jangan malu minta penjual buat yang baru. Selain itu, pilih gerai yang mengawal api dan memasak ikut pesanan,” kongsi KKM menerusi satu muat naik di laman Facebook.
Selain daripada itu, terdapat beberapa langkah lagi yang dapat dilakukan bagi mengelak daripada termakan acrylamide. Langkah ini dikongsi oleh Agensi Pendaftaran Bahan Toksik dan Penyakit Amerika Syarikat.
Antara langkah yang dicadangkan ialah elak daripada mengambil terlalu banyak makanan tinggi karbohidrat yang dimasak pada suhu tinggi.
Malah, pengguna juga dinasihat agar tidak memasak makanan sehingga terlalu hangus atau terlalu perang.