Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Majlis Pendidikan Negara Jadi Pemacu Reformasi Sistem Pendidikan - PM Anwar

majlis
Kredit: Facebook Anwar Ibrahim

Majlis Pendidikan Negara Jadi Pemacu Reformasi Sistem Pendidikan - PM Anwar

Usaha memperkukuh sistem pendidikan negara terus diberi perhatian apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan penubuhan Majlis Pendidikan Negara bertujuan memacu pembaharuan menyeluruh dalam sektor itu agar kekal relevan dengan keperluan semasa.

Menerusi satu hantaran di Facebook malam tadi, Anwar berkata, majlis tersebut berperanan meneliti penambahbaikan kandungan serta kurikulum pendidikan negara termasuk memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua.

Menurut beliau, usaha itu bagaimanapun tidak akan mengabaikan nilai, budaya, bahasa kebangsaan serta akhlak yang menjadi tunjang kepada gagasan Malaysia MADANI.

“Pendidikan negara perlu dinilai secara objektif, berpandukan pandangan serta kepakaran pelbagai pihak agar setiap langkah yang diambil benar-benar mampu mempersiapkan generasi masa hadapan.

“Budaya berpuas hati dengan sistem sedia ada tidak boleh menghalang kemajuan dan yang lebih penting ialah kesediaan untuk berubah, berani melakukan pembaharuan dan terus mengangkat mutu pendidikan negara ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Terdahulu, Anwar berkata beliau telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pendidikan Negara Bilangan 1 Tahun 2026 yang memberi tumpuan kepada hala tuju pendidikan negara merangkumi pendidikan sekolah dan pengajian tinggi.

Beliau berkata, antara perkara yang dibincangkan termasuk usaha meningkatkan mutu pendidikan di peringkat daerah, memperkasa agenda pendidikan Bumiputera serta membina hala tuju bakat dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi memenuhi keperluan masa depan negara.