Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

MERBOK, 2 November 2024 – Dalam usaha mengangkat dan memartabatkan seni budaya dan warisan sejarah, Jabatan Muzium Malaysia menerusi Muzium Arkeologi Lembah Bujang (MALB) telah mengadakan Majlis Perasmian Citra Nusa@MALB dan Pembukaan Semula Pameran Muzium Arkeologi Lembah Bujang. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah telah berkenan mencemar duli di majlis ini.
Galeri pameran Arkeologi Lembah Bujang telah dinaik taraf pada tahun 2022 dan siap sepenuhnya pada April 2024. Pameran ini menggabungkan pelbagai medium dan bentuk pameran, termasuk susun atur peti pameran, pencahayaan, serta elemen-elemen interaktif yang terkini. Pendekatan ini telah berjaya menghidupkan semula suasana zaman kegemilangan Tamadun Kedah Tua, membolehkan para pengunjung merasai pengalaman serta memahami keagungan sejarah Kedah Tua dengan lebih mendalam.

Manakala Galeri Sejarah Perdagangan Lembah Bujang telah dibuka kepada orang ramai pada bulan Februari 2022. Galeri ini memfokuskan pelbagai artifak yang berkaitan dengan perdagangan dengan tamadun India, Cina, Arab, dan Nusantara. Artifak-artifak yang dipamerkan bukan sahaja menunjukkan hubungan perdagangan yang erat antara Kedah Tua dan tamadun lain, tetapi juga membuktikan kepentingan kawasan ini sebagai pusat pertemuan pelbagai bangsa, budaya, dan amalan kepercayaan.
YB Datuk Aaron Ago Dagang dalam sembah ucapannya berkata, “Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dan Jabatan Muzium Malaysia sentiasa komited dalam menjadikan muzium sebagai platform integrasi kaum, selaras dengan fungsinya sebagai ‘guardian of heritage’. Pembukaan semula galeri Arkeologi Lembah Bujang ini bukan sahaja menjadi lambang pemeliharaan sejarah bangsa, malah ia juga menghubungkan masyarakat dengan warisan terdahulu.”

Antara pengisian Citra Nusa@MALB yang berlangsung selama tiga (3) hari, dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik menggunakan pendekatan berbentuk “edutainment” termasuklah Bicara Arkeologi Lembah Bujang: Menelusuri Kegemilangan Tamadun Awal yang akan menampilkan Ahli-ahli Arkeologi yang telah membuat ekskavasi arkeologi dan fokus kepada temuan arkeologi terkini di Bukit Choras Yan, Kedah. Selain itu, terdapat juga demonstrasi pembuatan produk, pelbagai persembahan kebudayaan masyarakat Malaysia, pameran serta jualan produk usahawan.