Majlis Ulama Indonesia (MUI) mengeluarkan fatwa haram terhadap semua aktiviti berkaitan rokok elektronik atau vape, lapor CNN Indonesia.
Ketetapan itu merangkumi penggunaan, penyalahgunaan, pengeluaran hingga perdagangan vape.
Menurut laporan CNN, ketetapan berkenaan terkandung dalam Fatwa Jawatankuasa Fatwa MUI Nombor 131 Tahun 2026 mengenai Hukum Penggunaan Rokok Elektronik atau Vape.
Fatwa itu ditandatangani Ketua MUI Bidang Fatwa, Asrorun Niam Sholeh bersama Timbalan Setiausaha Agung MUI Bidang Fatwa, Dr KH Aminuddin Yaqub.
Dokumen itu turut dimaklumi Ketua Umum MUI, KH Anwar Iskandar dan Setiausaha Agung MUI, Buya Amirsyah Tambunan di Jakarta pada 6 November 2026.
MUI Tetap Fatwa Haram Vape
“Penggunaan rokok elektronik (REL)/vape hukumnya haram kerana membahayakan kesihatan, merosakkan alam sekitar dan sebagai langkah pencegahan (sadd al-dzariah) supaya ia tidak dijadikan medium pengedaran dan pengambilan narkotik, bahan psikotropik serta bahan ketagihan lain,” menurut kenyataan daripada laman rasmi MUI.
Dalam pertimbangannya, MUI berpandangan bahawa penggunaan rokok elektronik membawa kesan negatif kepada masyarakat, baik dari aspek kesihatan mahupun sosial.
Fatwa itu menjelaskan bahawa rokok elektronik ialah peranti berkuasa bateri yang berfungsi dengan memanaskan bahan mengandungi nikotin, gliserin dan perisa sehingga menghasilkan wap untuk disedut penggunanya.
MUI turut memberikan perhatian terhadap kandungan nikotin dalam vape. Bahan itu dinilai mempunyai sifat ketagihan dan berpotensi memberikan kesan serius terhadap sistem saraf serta kesihatan tubuh secara keseluruhan.
Ketetapan haram dalam fatwa itu bukan hanya terpakai kepada pengguna. MUI turut menetapkan bahawa aktiviti penyalahgunaan vape untuk pengambilan narkotik, bahan psikotropik dan bahan ketagihan lain sebagai perbuatan yang diharamkan.
Selain itu, ketetapan hukum dalam perkara kedua dan ketiga fatwa berkenaan secara tegas menyatakan bahawa penyalahgunaan, pengeluaran mahupun perdagangan rokok elektronik atau vape hukumnya haram.
MUI turut mengemukakan beberapa saranan kepada kerajaan dan Dewan Perwakilan Rakyat (DPR). Antaranya, meminta kedua-dua institusi itu segera menggubal undang-undang berhubung larangan vape berserta hukuman terhadap pihak yang melanggarnya.
Pada masa sama, kerajaan diminta segera mengambil langkah mengawal pengedaran rokok elektronik. Usaha itu dianggap penting untuk melindungi masyarakat daripada pendedahan serta pelbagai kesan negatif penggunaan vape.
Selain itu, ketetapan hukum dalam perkara kedua dan ketiga fatwa berkenaan secara tegas menyatakan bahawa penyalahgunaan, pengeluaran mahupun perdagangan rokok elektronik atau vape hukumnya haram.
MUI turut mengemukakan beberapa saranan kepada kerajaan dan DPR. Antaranya, meminta kedua-dua institusi itu segera menggubal undang-undang berhubung larangan vape berserta hukuman terhadap pihak yang melanggarnya.
Pada masa sama, kerajaan diminta segera mengambil langkah mengawal pengedaran rokok elektronik. Usaha itu dianggap penting untuk melindungi masyarakat daripada pendedahan serta pelbagai kesan negatif penggunaan vape.

