Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Malaysia Anjur Dialog Pelancongan ASEAN-China Di Langkawi Bagi Memperkukuh Sinergi Serantau

Malaysia Anjur Dialog
Kredit: Bernama

Malaysia Anjur Dialog Pelancongan ASEAN-China Di Langkawi Bagi Memperkukuh Sinergi Serantau

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) telah berjaya menganjurkan Dialog Pelancongan ASEAN–China di Langkawi, Kedah, pada 22 hingga 23 Julai 2026.

Penganjuran acara berprestij itu sekali lagi menegaskan komitmen teguh Malaysia dalam memperkukuh kerjasama pelancongan antara negara anggota ASEAN dan Republik Rakyat China.

Dialog peringkat tinggi tersebut menghimpunkan pegawai kanan kerajaan, organisasi pelancongan, pemimpin industri serta wakil sektor swasta dari seluruh ASEAN dan China.

Para delegasi meneroka pendekatan strategik bagi memajukan pelancongan mampan, mempercepat transformasi digital, meningkatkan kesalinghubungan serantau dan menggalakkan pertukaran rakyat dengan rakyat yang lebih erat.

Dialog Pelancongan ASEAN–China itu dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, YB Dato’ Sri Tiong King Sing, bersama Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Ouyang Yujing; Pengerusi World Tourism Alliance (WTA), Tuan Yang Terutama Zhang Xu; serta Setiausaha Agung ASEAN–China Centre, Tuan Yang Terutama Zhang Lizhong.

Acara itu turut menampilkan pembentangan ucaptama oleh Presiden China Tourism Academy, Profesor Dai Bin dan Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn.

Sesi tersebut disusuli perbincangan panel dinamik yang memberi tumpuan kepada daya tahan pelancongan serantau, inovasi digital serta kerjasama dalam bidang pelancongan budaya dan kreatif.

Dialog berkenaan menyediakan pandangan bernilai dalam usaha memperkukuh kerjasama serantau serta meningkatkan daya saing global ASEAN dan China sebagai destinasi pelancongan utama.

Turut diadakan bersempena forum tersebut ialah Dialog Pelancongan Malaysia–China yang memperkukuh hubungan dua hala menerusi pembentangan promosi pelancongan khusus daripada kedua-dua negara.

Sesi itu diakhiri dengan pemeteraian dan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) serta perjanjian kerjasama perniagaan antara pihak berkepentingan dalam sektor pelancongan Malaysia dan China.

Kerjasama strategik tersebut dijangka meningkatkan promosi pelancongan bersama, memudahkan kerjasama perniagaan rentas sempadan dan membuka peluang baharu dalam pelaburan pelancongan serta pertukaran pelawat.

Selain itu, program tersebut turut menampilkan Sesi Jaringan Perniagaan ASEAN–China yang menyediakan platform bernilai tinggi kepada perniagaan pelancongan dan pemain industri dari kedua-dua rantau untuk menjalin kerjasama strategik, mewujudkan hubungan komersial baharu serta meneroka peluang pasaran yang sedang berkembang.

Pada 23 Julai 2026, para delegasi menyertai lawatan teknikal ke Kilim Geoforest Park, Kompleks Kraf Langkawi dan pelayaran matahari terbenam Langkawi.

Lawatan berkenaan mengetengahkan keunikan ekopelancongan, kekayaan warisan budaya serta kepelbagaian produk pelancongan berasaskan pengalaman yang ditawarkan di pulau tersebut.

China kekal sebagai antara pasaran sumber pelancongan utama Malaysia dan kejayaan penganjuran dialog berkenaan mencerminkan hubungan kukuh serta berterusan antara Malaysia, ASEAN dan China.

Hasil daripada pertemuan tersebut dijangka terus memperkukuh kerjasama pelancongan serantau, meningkatkan aliran pelawat dan menyokong kejayaan berterusan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, usaha kerjasama tersebut menggalakkan pembangunan pelancongan mampan, meningkatkan kesalinghubungan serantau dan merancakkan pertumbuhan ekonomi inklusif menerusi kerjasama bermakna serta pertukaran rakyat dengan rakyat.

Pada masa sama, inisiatif itu turut memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan dan pintu masuk strategik ke ASEAN.

Intipati
  • MOTAC menganjurkan Dialog Pelancongan ASEAN-China di Langkawi pada 22 hingga 23 Julai 2026.
  • Delegasi membincangkan pelancongan mampan, transformasi digital, kesalinghubungan serantau dan pertukaran rakyat dengan rakyat.
  • Beberapa MoU dan perjanjian kerjasama dimeterai antara pihak berkepentingan pelancongan Malaysia dan China.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan