Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Malaysia Antara 3 Terbaik Dunia Daripada 53 Pencalonan

MALAYSIA

Malaysia Antara 3 Terbaik Dunia Daripada 53 Pencalonan

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku (PKB), Adibah Omar, mencatat pencapaian bersejarah apabila tersenarai sebagai Tiga Terbaik Finalis Global bagi kategori Inovasi dalam PublisHer Excellence Awards 2026, yang berlangsung sempena Pesta Buku Kanak-kanak Bologna di Itali. 

Pencapaian ini meletakkan Malaysia sebagai finalis pertama dari Asia Tenggara dalam kategori tersebut, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara sebagai pemain baharu yang semakin menonjol dalam landskap inovasi penerbitan global.

Daripada 53 pencalonan antarabangsa, kedudukan Tiga Terbaik ini mencerminkan tahap kredibiliti, daya saing, dan pengaruh Malaysia dalam agenda pembangunan industri buku berteraskan ilmu.

Anugerah berprestij ini menghimpunkan tokoh wanita terkemuka dunia dalam industri penerbitan, dengan penilaian berasaskan kepimpinan, inovasi, dan impak terhadap ekosistem global. 

Bagi kategori Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat

Senarai akhir termasuk Ana Maria Cabanellas (Argentina), Orietta Fatucci (Itali), dan María Esperanza Espinosa Barragan (Mexico). 

Bagi kategori Inovasi

Finalis terdiri daripada Monique Leite (Brazil), Adibah Omar (Malaysia), dan Kinga Jentetics (Amerika Syarikat). 

Kategori Pemimpin Baharu (Emerging Leader)

Menampilkan Ana María Bermudez (Mexico), Tara Khandelwal (India), dan Ovueroghene Shalom Shaba (Nigeria). 

Dalam keputusan rasmi, Monique Leite diumumkan sebagai penerima Anugerah Inovasi 2026 atas visi luar biasa beliau yang mencabar norma bagi membentuk masa hadapan penerbitan.

Sementara itu, Ana María Bermudez diiktiraf sebagai pemenang kategori Pemimpin Baharu yang sedang membentuk landskap industri, dan Ana Maria Cabanellas dianugerahkan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat atas sumbangan besar dan legasi berpanjangan beliau dalam industri penerbitan global. 

Dalam acara sebelum penyampaian anugerah, Adibah turut dijemput sebagai panelis dalam sesi di PublisHer Lounge sempena Pesta Buku Kanak-kanak Bologna, bersama-sama Kinga Jentetics dan Monique Leite, yang dikendalikan oleh Sandra Tamele. 

Sesi ini membincangkan masa hadapan industri penerbitan sekiranya dibina semula dalam konteks semasa, dengan penekanan bahawa inovasi bukan semata-mata berasaskan teknologi, tetapi berpaksikan akses yang adil kepada ilmu dan pembacaan. 

Dalam acara berkaitan, sebanyak 42 personaliti perbukuan dunia telah dipilih untuk mempersembahkan “Piagam Kanak-kanak” dalam lebih 30 bahasa dunia. Adibah turut dipilih oleh pihak penganjur, iaitu pihak Pesta Buku Kanak-kanak Bologna dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, untuk mempersembahkan piagam tersebut dalam bahasa Melayu, sekali gus mencerminkan komitmen Malaysia dalam memperjuangkan hak kanak-kanak melalui akses kepada ilmu dan pembacaan.

Semua penglibatan ini menyerlahkan suara Malaysia dalam wacana global, khususnya dalam membawa perspektif rantau yang menekankan keterangkuman, pembangunan kapasiti, dan pengukuhan ekosistem buku sebagai asas masyarakat berpengetahuan. 

Mengulas perkembangan ini, Adibah berkata, “Malaysia mungkin tidak membawa pulang trofi, tetapi kita membawa pulang sesuatu yang jauh lebih bermakna. Untuk berada dalam kelompok Tiga Terbaik daripada 53 pencalonan global adalah satu pencapaian strategik yang signifikan. 

Ini bukan titik akhir, tetapi satu isyarat. Isyarat bahawa Malaysia kini berada di pentas global, bukan sekadar sebagai peserta, tetapi sebagai penyumbang idea dan solusi. Inovasi dalam penerbitan tidak lagi dimonopoli oleh negara-negara besar, sebaliknya sedang dibina dengan berani dari negara seperti Malaysia.” 

Melangkah ke hadapan, pencapaian ini menjadi asas kepada agenda PKB yang lebih besar, iaitu memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai kuasa lembut global melalui penerbitan, memperluas jaringan strategik antarabangsa, dan memastikan setiap inisiatif yang dibangunkan bukan sahaja memberikan manfaat kepada negara, malah turut menyumbang kepada ekosistem pengetahuan dunia.