Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Malaysia Bakal Berdepan Super El Nino Bermula November Ini

Super El Nino
Kredit: Bernama

Malaysia Bakal Berdepan Super El Nino Bermula November Ini

Negara bakal dilanda fenomena Super El Nino yang diramal bermula November ini.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Ambun Dindang, ramalan itu berdasarkan data yang dipantau oleh National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) menerusi Climate Prediction Center (CPC).

Risiko Jerebu Awal Tahun Hadapan

Fenomena ini akan meningkatkan risiko cuaca lebih panas, pengurangan hujan dan kejadian jerebu di negara, memandangkan musim Monsun Timur Laut yang berakhir pada tahun hadapan.

"Fenomena El Nino ketika ini telah pun berlaku, namun status Super El Nino hanya dijangka bermula sekitar November 2026 dan berterusan sehingga Januari 2027.

"Fenomena itu berlaku di tengah Lautan Pasifik, namun kesannya boleh dirasai di seluruh dunia termasuk Malaysia. Bagaimanapun, impaknya kepada negara dijangka berlaku sedikit lewat berbanding kawasan asal," katanya.

Tambah Ambun, Malaysia dijangka mengalami pengurangan taburan hujan yang ketara serta peningkatan suhu pada awal tahun hadapan sekiranya ramalan tersebut menjadi kenyataan.

Ia mungkin menyaksikan episod bacaan suhu tertinggi direkodkan 40.1 darjah Celsius di Chuping pada 9 April 1998 serta 39.3 darjah Celsius di Batu Embun pada 2016 berulang kembali.

Beliau berkata demikian selepas sesi libat urus bersama media: kesiapsiagaan kerajaan menghadapi Monsun Barat Daya (MBD) tahun 2026.

Dalam pada itu, unjuran risiko jerebu rentas sempadan dalam beberapa bulan akan datang dibuat susulan perkembangan fenomena El Niño serta keadaan cuaca kering ketika musim Monsun Barat Daya.

Lebih-lebih lagi, kebanyakan negara di Asia Tenggara termasuk Malaysia, Singapura dan Indonesia lazimnya mengalami cuaca lebih panas dan kering, sekali gus meningkatkan risiko jerebu sepanjang Monsun Barat Daya.

"Ketika musim ini, jerebu boleh berpunca daripada sumber tempatan atau dibawa merentasi sempadan dari negara jiran yang turut mengalami cuaca kering," katanya.

Tambahnya, beberapa titik panas di negara jiran yang muncul berisiko menjejaskan kualiti udara serantau, berdasarkan pemantauan menerusi ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC).

Namun, Ambun menegaskan masih terlalu awal untuk mengesahkan Malaysia akan berdepan episod jerebu yang serius kerana keadaan bergantung kepada perkembangan cuaca dan arah angin dari semasa ke semasa.

Jerebu berkemungkinan lebih teruk selepas berakhirnya Monsun Timur Laut, apabila negara kembali memasuki tempoh cuaca yang lebih kering pada tahun hadapan menerusi unjuran yang dibuat.

Sehubungan itu, MetMalaysia akan terus memantau perkembangan fenomena El Nino dan data iklim global secara berterusan.

Ia bagi memastikan sebarang perubahan cuaca yang boleh memberi kesan kepada negara dapat dimaklumkan lebih awal kepada orang ramai dan agensi berkaitan.