Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Setiap kali menjejakkan kaki ke negara baharu, pasti ada budaya atau cara hidup yang terasa asing.
Apa yang dianggap biasa oleh penduduk tempatan, mungkin menjadi sesuatu yang unik di mata pelancong.
Begitulah yang dirasai oleh seorang wanita dari New Zealand (Kiwi) apabila berkongsi pengalaman sepanjang tiga tahun berada di Malaysia.
Perkongsiannya di TikTok bukan sahaja mencuri perhatian rakyat Malaysia, malah turut mengundang pelbagai reaksi positif daripada netizen.
Menariknya, perkara-perkara yang dikongsikan bukanlah sesuatu yang luar biasa bagi rakyat Malaysia. Sebaliknya, ia adalah rutin harian yang kita lalui tanpa sedar.

Walaupun ramai mengeluh apabila hujan lebat, namun sebagai rakyat New Zealand, dia mengakui tidak pernah mengalami ribut petir seperti di Malaysia.
Bunyi guruh, hujan yang turun dengan lebat serta udara yang menjadi sejuk selepas cuaca panas menjadikan ia antara perkara paling disukainya sepanjang tinggal di negara ini.
Wanita itu turut mengakui kagum melihat budaya di Malaysia, di mana, budaya menu baharu hampir setiap bulan.
Menurutnya, jenama makanan dan minuman di Malaysia sentiasa tampil dengan perisa bermusim, pencuci mulut serta minuman edisi terhad.
Katanya, rakyat Malaysia mungkin tidak sedar betapa bertuahnya mereka kerana sentiasa mempunyai sesuatu yang baharu untuk dicuba.
Jika datang ke Malaysia, tak lengkap bercerita tentang latar belakang kepelbagaian budayanya, malah ia menjadi salah satu identiti di Malaysia.
Katanya, dalam tempoh beberapa bulan sahaja seseorang boleh meraikan Hari Raya Aidilfitri, Deepavali dan Tahun Baharu Cina.
Menurutnya, hidup bersama masyarakat daripada pelbagai latar belakang budaya merupakan pengalaman yang sangat istimewa.
Satu lagi perkara yang mengejutkannya ialah budaya pusat beli-belah di Malaysia.
Kongsi Kiwi, di New Zealand, orang ramai biasanya datang membeli barang sebelum terus pulang.
Namun di Malaysia, pusat beli-belah menjadi tempat untuk melepak, bertemu rakan, menikmati makanan dan menghabiskan masa berjam-jam.
Tambahnya lagi, cuaca panas sepanjang tahun juga menyebabkan pusat beli-belah menjadi lokasi pilihan ramai untuk berteduh dari panas.
Selain itu, dia turut memuji pencuci mulut Sofuto yang dijual di FamilyMart.
Menurutnya, dia tidak faham mengapa makanan itu tidak lebih terkenal di peringkat antarabangsa.
Baginya, idea membeli ais krim atau pencuci mulut yang enak di kedai serbaneka pada bila-bila masa merupakan satu pengalaman yang sangat menyeronokkan.
Sebelum berpindah ke Malaysia, dia membayangkan Kuala Lumpur hanya dipenuhi bangunan pencakar langit.
Namun sebaik sahaja menetap di sini, dia terkejut melihat begitu banyak taman, pokok dan kawasan hijau yang disepadukan dengan pembangunan bandar.
Baginya, keseimbangan antara alam semula jadi dan pembangunan moden menjadikan Kuala Lumpur lebih menarik daripada jangkaannya.
Selain itu, dia juga mengakui tidak menyangka kebanyakan kondominium di Malaysia menawarkan pelbagai kemudahan.
Bukan sahaja mempunyai kawalan keselamatan, malah turut dilengkapi kolam renang, gimnasium serta pelbagai fasiliti lain.
Baginya, ada sesetengah kondominium di Malaysia yang terasa seperti sebuah resort.
Perkara inilah yang membuatkan Malaysia mesra dengan orang awam atau pelancong yang datang,
Kemudahan yang tersedia ada hampir di mana-mana.
Daripada menempah Grab, membuat pembayaran tanpa tunai, menempah rawatan kecantikan hinggalah membeli barangan dapur dan memesan makanan, semuanya boleh dilakukan dengan pantas.
Menurutnya, kemudahan seperti ini membuatkan kehidupannya menjadi jauh lebih selesa.
Malah, dia berseloroh bahawa Malaysia telah membuatkan dirinya menjadi "terlalu malas", namun mengakui dia sangat menyukainya.
Perkongsiannya turut mendapat perhatian ramai rakyat Malaysia. Di ruangan komen, ramai yang berterima kasih kerana berkongsi perspektif positif tentang negara ini.
Ada juga yang mengakui mereka sendiri tidak pernah menyedari bahawa perkara-perkara yang dianggap biasa sebenarnya menjadi tarikan kepada warga asing.
Hakikatnya, setiap negara mempunyai kelebihan dan keunikannya yang tersendiri.
Apa yang dilalui setiap hari oleh rakyat Malaysia mungkin kelihatan biasa, namun bagi mereka yang datang dari luar negara, ia boleh menjadi satu pengalaman yang cukup bermakna.
Kadangkala, kita hanya mula menghargai sesuatu apabila melihatnya melalui perspektif orang lain.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan