Malaysia Dipilih Sebagai Ahli Majlis Pentadbiran Pusat Asia Dan Pasifik Bagi Pemindahan Teknologi (APCTT) Untuk Penggal 2026-2029
PUTRAJAYA, 22 April – Malaysia telah berjaya dipilih sebagai Ahli Majlis Pentadbiran Pusat Asia dan Pasifik bagi Pemindahan Teknologi (APCTT) bagi tempoh tiga tahun untuk penggal 2026 hingga 2029.
Keputusan pemilihan tersebut diumumkan semalam semasa Sesi ke-82 Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Asia dan Pasifik (UNESCAP) yang diadakan di Bangkok, Thailand.
Malaysia muncul sebagai antara lapan buah negara yang diberi mandat untuk berkhidmat dalam majlis pentadbiran badan utama tersebut.
Sebagai sebuah entiti penting di bawah UNESCAP, APCTT berperanan besar dalam memperkukuh kerjasama teknikal serta mempromosikan perkongsian teknologi.
Fokus utama badan ini adalah bagi memperkasakan bidang sains, teknologi, dan inovasi (STI) dalam menyokong agenda pembangunan yang mampan di peringkat rantau Asia dan Pasifik.
Malaysia, yang diwakili oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), mempunyai rekod penglibatan yang luas dengan pernah berkhidmat dalam majlis ini bagi penggal 2006-2009, 2014-2017, dan 2017-2020.
Pencapaian terbaharu ini membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam menyokong usaha APCTT sejak penubuhannya pada tahun 1977, sekali gus terus aktif menyumbang kepada pemerkasaan teknologi di bawah naungan UNESCAP.

