Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Malaysia Kekal Terima Pengiktirafan WHO, Berjaya Bendung HIV dan Sifilis Dari Ibu Kepada Anak

Malaysia Kekal Terima Pengiktirafan WHO
Kredit: Kementerian Kesihatan Malaysia

Malaysia berjaya mengekalkan validasi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi pencegahan penularan jangkitan HIV dan sifilis daripada ibu kepada anak bagi tempoh 2021 hingga 2024.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata kejayaan itu sekaligus meneruskan pengiktirafan daripada WHO yang diterima pada 2018.

“Kejayaan ini meneruskan pengiktirafan yang diperoleh pada tahun 2018, apabila Malaysia menjadi negara pertama di Rantau Pasifik Barat WHO mencapai validasi tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Sijil dan penghargaan berkenaan diterima Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, sempena Persidangan Jawatankuasa Serantau WHO Pasifik Barat ke-77 di Manila pada 19 Oktober 2026.

Menurut KKM, pengiktirafan itu mencerminkan komitmen berterusan Malaysia memperkukuh kesihatan ibu dan anak serta memastikan akses kepada perkhidmatan saringan, rawatan dan penjagaan kesihatan berkualiti.

Malaysia Kekal Terima Pengiktirafan WHO

Dalam pada itu, pencapaian itu membuktikan keberkesanan Program Pencegahan Jangkitan HIV dan Sifilis dari Ibu ke Anak (PMTCT) yang diintegrasikan dalam perkhidmatan kesihatan ibu dan anak sejak 1997.

“Sepanjang tempoh penilaian, liputan saringan HIV dan sifilis dalam kalangan ibu hamil kekal melebihi 95 peratus, manakala liputan rawatan antiretroviral bagi ibu hamil yang hidup dengan HIV mencapai sekiat 99 peratus,” jelas KKM.

Pada 2024, kadar penularan HIV daripada ibu kepada bayi kekal rendah pada 1.52 peratus, sekali gus memenuhi sasaran WHO iaitu kurang daripada dua peratus.

Dalam tempoh sama, kadar sifilis dalam kalangan bayi akibat jangkitan daripada ibu mencatatkan 10 kes bagi setiap 100,000 kelahiran hidup, di bawah ambang eliminasi WHO sebanyak 50 kes.

KKM menyifatkan kejayaan itu sebagai hasil komitmen petugas kesihatan, kerjasama agensi kerajaan, penyedia perkhidmatan kesihatan swasta, Majlis AIDS Malaysia, pertubuhan masyarakat sivil dan komuniti.

“KKM merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada semua pihak yang menyumbang kepada pencapaian ini, serta WHO atas sokongan teknikal dan kerjasama yang diberikan.

“KKM akan terus memperkukuh pengesanan awal, rawatan dan susulan ibu serta bayi bagi memastikan pencapaian ini berkekalan,” katanya.

Dalam pada itu, KKM turut menyarankan ibu hamil untuk mendapatkan penjagaan antenatal seawal mungkin serta melengkapkan saringan dan rawatan yang disyorkan bagi melindungi kesihatan diri dan anak.

Intipati
  • Malaysia mengekalkan validasi WHO bagi pencegahan penularan HIV dan sifilis ibu kepada anak.
  • Pengiktirafan itu meneruskan pencapaian 2018 sebagai negara pertama di Rantau Pasifik Barat WHO.
  • KKM menyarankan ibu hamil mendapatkan penjagaan antenatal awal serta melengkapkan saringan disyorkan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan