“Malaysia Krisis Beras?” - Warga Seberang Turun Padang ‘Check’ Beberapa Pasar Raya
Media sosial sememangnya menjadi antara platform paling pantas untuk sesuatu maklumat tersebar.
Namun, dalam lambakan perkongsian yang muncul setiap hari, bukan semuanya boleh diterima bulat-bulat tanpa semakan.
Baru-baru ini, timbul perbualan dalam kalangan pengguna media sosial Indonesia mengenai bekalan beras di Malaysia.
Antara dakwaan yang diperkatakan ialah Malaysia dikatakan berdepan masalah bekalan beras sehingga perlu mendapatkan bekalan daripada Indonesia.
Perkara itu kemudian menarik perhatian beberapa warga Indonesia yang berada di Malaysia untuk melihat sendiri situasi sebenar di pasar raya tempatan.
Malaysia Krisis Beras? Warga Indonesia turun sendiri ke pasar raya
Salah seorang daripada mereka ialah pencipta kandungan TikTok, @koko_beruang.
Daripada hanya membaca dakwaan yang tersebar di media sosial, dia memilih untuk pergi sendiri ke sebuah pasar raya Econsave bagi melihat keadaan bekalan beras yang dijual kepada pengguna.

Menerusi video yang dikongsikan, kelihatan pelbagai jenis beras masih tersedia di bahagian barangan keperluan harian.
Guni dan pek beras daripada beberapa jenama juga dilihat memenuhi rak serta ruang jualan pasar raya berkenaan.
Apa yang ditemuinya ketika itu nyata berbeza dengan gambaran seolah-olah bekalan beras di Malaysia sudah berada pada tahap yang membimbangkan.
Malah, dia turut memeriksa beberapa bungkusan untuk melihat dari mana beras tersebut berasal.
Antara jenama yang ditemuinya termasuk jenama yang sudah biasa berada dalam pasaran Malaysia seperti Jati dan Jasmine.
Selain produk tempatan, terdapat juga pilihan beras import dari beberapa negara lain.
Persoalan beras dari Indonesia pula timbul

Namun pemeriksaan itu tidak berhenti setakat melihat sama ada beras masih banyak atau tidak.
Satu lagi persoalan yang menarik perhatian ialah dakwaan mengenai kemasukan beras dari Indonesia ke Malaysia.
Bagi mendapatkan gambaran lebih jelas, seorang lagi pencipta kandungan warga Indonesia @juneforsure mengambil pendekatan hampir sama.
Kali ini, dia mengunjungi beberapa pasar raya berbeza sekitar Kuala Lumpur untuk mencari sendiri beras yang dikatakan diimport dari negaranya.
Antara lokasi yang dikunjungi ialah NSK Trade City, Giant dan Jaya Grocer.
Kalau benar beras Indonesia banyak dibawa masuk ke Malaysia seperti yang diperkatakan sesetengah pengguna media sosial, mungkin mudah untuk menemuinya di rak pasar raya.
Namun hasil pencarian mereka ketika itu tidak seperti yang dijangkakan.
Cari tiga pasar raya, tak jumpa beras Indonesia

Di NSK Trade City, pencipta kandungan berkenaan menemui pelbagai pilihan beras daripada jenama dan jenis berbeza.
Selain produk tempatan, antara negara sumber beras import yang ditemuinya ialah Thailand dan Vietnam.
Bagaimanapun, dia tidak menemui beras berlabel berasal dari Indonesia ketika pemeriksaan tersebut.
Situasinya juga hampir sama apabila terdapat pelbagai pilihan beras untuk pengguna, tetapi sekali lagi dia tidak menemui produk beras dari Indonesia pada rak yang diperiksanya di pasar raya Giant.
Untuk mendapatkan kepastian di sudut hati, dia juga mencari makanan ruji berkenaan ke Jaya Grocer. Namun, sekali lagi dia tidak menemukan beras dari Indonesia.
Hasil Carian Terbongkar: Mana Perginya Beras Import Dari Indonesia?

Sudah tentu, pemeriksaan di beberapa cawangan pasar raya sahaja tidak boleh dijadikan bukti bahawa langsung tiada beras dari Indonesia dijual di seluruh Malaysia.
Namun, perkongsian mereka sekurang-kurangnya memberi gambaran mengenai keadaan yang dilihat sendiri di beberapa lokasi dan pada waktu pemeriksaan dibuat.
Ia juga menunjukkan bahawa rak beras di pasar raya yang dikunjungi masih mempunyai pelbagai pilihan daripada sumber tempatan serta beberapa negara pengimport lain.
Apa yang lebih menarik, individu yang turun melakukan pemeriksaan itu sendiri merupakan warga Indonesia.
Sikap jujur yang ditonjolkan pencipta kandungan ini dalam menyampaikan fakta sebenar di lapangan juga wajar dipuji.
Mereka bukan sahaja berkongsi apa yang didengar di media sosial, sebaliknya mengambil inisiatif melihat keadaan sebenar sebelum membuat kesimpulan.
