Malaysia memohon kebenaran Kerajaan Nepal untuk mengatur gerak Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) susulan bencana banjir serta tanah runtuh yang melanda negara itu baru-baru ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkara itu disampaikan kepada rakan sejawatnya dari Nepal, Shisir Khanal menerusi perbualan telefon, semalam.

Menurutnya, perbincangan berkenaan turut memberi tumpuan kepada perkembangan terkini operasi SAR, khususnya usaha mengesan rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi.
“Perbincangan tertumpu kepada perkembangan terkini operasi SAR, khususnya usaha mengesan rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi akibat banjir dan tanah runtuh di Nepal tempoh hari,” katanya menerusi hantaran di Facebook, semalam.
Mohamad turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Nepal atas segala bantuan serta kerjasama yang diberikan kepada Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu dalam menangani situasi berkenaan.
Jelasnya, Malaysia akan terus memberikan perhatian terhadap usaha mengesan rakyatnya yang masih belum dapat dihubungi susulan bencana itu.

