Setiausaha Tentera Darat Amerika Syarikat (AS), Dan Driscoll, dilaporkan mengemukakan peletakan jawatan kepada Presiden Donald Trump, menurut beberapa sumber yang mengetahui perkara itu.
Menurut sumber, keputusan berkenaan tidak mengejutkan susulan ketegangan yang dilaporkan berlaku antara Driscoll dan Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth.
Satu lagi sumber berkata, dalam surat peletakan jawatannya, Driscoll membangkitkan kebimbangan terhadap pentadbiran berhubung usaha transformasi dan kesiapsiagaan Tentera Darat AS.
Sumber itu mendakwa Hegseth turut menghalang usaha berkenaan, khususnya menerusi tindakan menyingkirkan beberapa jeneral yang bertanggungjawab terhadap agenda tersebut.
Seorang pegawai Tentera Darat AS mengesahkan Driscoll sudah bercakap dengan Trump mengenai keadaan semasa pasukan berkenaan sebelum mengemukakan peletakan jawatannya.
Bagaimanapun, tarikh rasmi Driscoll meninggalkan jawatan itu masih belum dipastikan.
Sekiranya beliau berundur, tugas berkenaan lazimnya akan dipangku Timbalan Setiausaha Tentera Darat. Jawatan itu kini disandang Mike Obadal, bekas kolonel Tentera Darat dan penerbang operasi khas.
Sementara itu, jurucakap Rumah Putih, Anna Kelly memuji prestasi Driscoll sepanjang menerajui Jabatan Tentera Darat.
“Setiausaha Driscoll sangat berkesan dalam melaksanakan agenda Presiden Trump untuk menjadikan Amerika lebih kuat menerusi Jabatan Tentera Darat,” katanya.
Menurut Kelly, Driscoll memainkan peranan dalam operasi ketenteraan penting, meningkatkan kesiapsiagaan dan keupayaan tempur, selain membantu rundingan antara Rusia dan Ukraine.
Peletakan jawatan Driscoll dilaporkan berlaku selepas berbulan-bulan ketegangan dengan Hegseth, selain hubungan rapatnya dengan Naib Presiden AS, JD Vance.
Driscoll dan Vance merupakan rakan sekelas di Yale Law School dan kekal sebagai sahabat rapat. Hubungan tersebut sebelum ini dikatakan menjadi antara punca Hegseth tidak senang hati kerana melihat hubungan Driscoll dengan Rumah Putih sebagai usaha untuk memintasnya.
Driscoll sebelum ini turut menjalin hubungan rapat dengan Trump dan pernah dipilih Presiden itu untuk membantu usaha membawa Ukraine kembali ke meja rundingan dengan Rusia.
Ketegangan antara Driscoll dan Hegseth turut menjadi lebih ketara selepas Hegseth memecat Ketua Staf Tentera Darat, Jeneral Randy George, selain beberapa pegawai kanan lain.
Driscoll dan George sebelum ini bekerjasama rapat dalam usaha memodenkan pasukan serta peralatan Tentera Darat AS.
Ketika memberi keterangan di hadapan Kongres pada April lalu, Driscoll menyatakan penghormatan tinggi terhadap George yang mempunyai pengalaman perkhidmatan selama 42 tahun.
Dalam pada itu, Hegseth dilaporkan sudah menyingkirkan atau memaksa beberapa pegawai kanan Tentera Darat meninggalkan jawatan masing-masing, termasuk bekas Timbalan Ketua Staf Tentera Darat, Jeneral James Mingus serta beberapa pegawai kanan lain.

