Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Malaysia Mula Puasa Pada Khamis
Umat Islam di Malaysia secara rasminya akan mula berpuasa pada Khamis (19 Februari).
Ia diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad menerusi siaran langsung tepat jam 8 malam sebentar tadi.
Syed Danial berkata penetapan tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia itu telah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-raja.
“Bagi menyempurnakan titah perintah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka adalah dengan ini saya mengisytiharkan tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia adalah pada Khamis 19 Februari 2026,” katanya.
Pada 12 Feb lepas, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja menerusi satu kenyataan menetapkan hari ini bersamaan dengan 29 Syaaban 1447 Hijrah untuk melihat anak bulan Ramadan bagi menentukan permulaan puasa buat umat Islam di Malaysia, lapor Bernama.
Proses melihat anak bulan Ramadan pada petang hari ini melibatkan 29 lokasi di seluruh negara antaranya di Baitul Hilal Bangunan Sultan Ismail, Pontian, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara di Melaka; Menara Kuala Lumpur dan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.
Turut menjadi tempat cerapan anak bulan ialah Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Port Dickson di Negeri Sembilan, serta Bukit Melawati, Kuala Selangor, Bukit Jugra, Banting, Kuala Langat dan Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam di Selangor.