Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Malaysia akan terus mempererat kerjasama strategik dengan Boao Forum for Asia (BFA) dalam pelbagai sektor utama termasuk perdagangan, pelaburan, transformasi digital, kecerdasan buatan (AI), peralihan tenaga, keterjaminan makanan, pendidikan dan pembangunan bakat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dibincangkan ketika beliau menerima kunjungan Setiausaha Agung BFA, Zhang Jun bagi bertukar pandangan mengenai landskap serantau dan global yang semakin mencabar.
Menurut Anwar, pertemuan tersebut turut menyentuh pelbagai isu semasa termasuk cabaran geopolitik, tekanan ekonomi serta perkembangan teknologi yang bergerak pantas.
“Dalam suasana dunia yang berdepan ketidaktentuan geopolitik, tekanan ekonomi serta perubahan teknologi yang pesat, saya menegaskan bahawa kerjasama serantau yang lebih erat, inklusif dan berteraskan dialog kekal menjadi kunci kepada kestabilan, kemakmuran dan kesejahteraan bersama,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook semalam.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, hubungan erat dengan BFA diharap mampu memperkukuh daya tahan rantau dalam mendepani cabaran global semasa.
Katanya, usaha berterusan itu juga diyakini dapat membuka lebih banyak ruang kerjasama baharu yang memberi manfaat langsung kepada rakyat secara keseluruhan.