Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Malaysia Sambut Baik Persefahaman AS-Iran, Gesa Laluan Selat Hormuz Dibuka Semula Segera

selat hormuz
Gambar: BERNAMA

Malaysia Sambut Baik Persefahaman AS-Iran, Gesa Laluan Selat Hormuz Dibuka Semula Segera

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, menyambut baik persefahaman yang dicapai antara Amerika Syarikat dan Iran ke arah menamatkan permusuhan antara kedua-dua negara.

Menerusi satu kenyataan ringkas di Facebook, beliau berkata Malaysia turut mengalu-alukan pengumuman bahawa satu memorandum persefahaman akan ditandatangani dalam masa terdekat sebagai langkah penting ke arah penyelesaian konflik.

Anwar turut merakamkan penghargaan kepada pihak yang memainkan peranan sebagai orang tengah dalam usaha mencapai persefahaman tersebut, khususnya Pakistan yang disifatkan berjaya membantu membawa kedua-dua pihak ke titik rundingan yang lebih positif.

Pembukaan semula Selat Hormuz perlu diberikan keutamaan tertinggi

Menurut beliau, pembukaan semula Selat Hormuz kepada perkapalan antarabangsa perlu diberikan keutamaan tertinggi kerana laluan strategik itu merupakan nadi penting kepada keselamatan tenaga dunia serta perdagangan antarabangsa.

“Sebarang gangguan berpanjangan tidak akan memberi manfaat kepada mana-mana pihak,” katanya.

Dalam pada itu, Malaysia menggesa semua pihak yang terlibat supaya bertindak dengan penuh keikhlasan, meneruskan proses diplomasi tanpa sebarang kelewatan serta menterjemahkan persefahaman yang dicapai kepada satu penyelesaian damai yang berkekalan.

Anwar turut menegaskan bahawa pada saat yang genting ini, semua pihak termasuk kuasa luar perlu mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan usaha diplomasi dan mencetuskan semula konflik.

Beliau berkata Malaysia bersedia untuk menyokong segala usaha ke arah mewujudkan keamanan yang adil dan berkekalan, selain menyeru masyarakat antarabangsa agar terus mengekalkan momentum rundingan.