Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

JOHOR, MALAYSIA – Tourism Malaysia berjaya menganjurkan Showcase Pakej Sambutan Hari Raya Aidiladha yang berlangsung di Homestay Sarang Buaya, Muar.
Program ini sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama pelancongan budaya dan berasaskan pengalaman menerusi Familiarisation Trip (Fam Trip) yang dianjurkan bersempena sambutan tersebut.
Fam Trip ini melibatkan tujuh ejen pelancongan dari Singapura serta lima wakil media antarabangsa dan tempatan sebagai sebahagian daripada usaha promosi berterusan di bawah kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Inisiatif ini turut mendapat kerjasama rakan industri termasuk Homestay Kampung Sarang Buaya sebagai tuan rumah serta Islamic Tourism Centre (ITC) dalam menyokong promosi pengalaman pelancongan mesra Muslim dan berteraskan budaya kepada pelawat dari Singapura.

Selaras dengan tema VM2026 iaitu “Surreal Experiences”, program ini menonjolkan kekuatan Malaysia dalam menawarkan pengalaman pelancongan imersif yang berteraskan tradisi budaya dan kehidupan komuniti.
Ia memperkenalkan pengalaman Aidiladha yang dirangka khas, memberi peluang kepada pelawat untuk mendekati kehidupan kampung sambil memahami dengan lebih mendalam adat resam dan nilai masyarakat tempatan.

Sehingga Mac 2026, Program Pengalaman Homestay Malaysia (PPHM) terus menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan dengan lebih 250 kluster homestay diwujudkan di hampir 600 kampung di seluruh negara, disokong oleh lebih 3,500 pengusaha berdaftar.
Pada suku pertama 2026, program ini merekodkan 176,376 ketibaan pelawat yang terdiri daripada 160,390 pelawat antarabangsa dan 15,986 pelancong domestik, sekali gus menjana pendapatan keseluruhan sekitar RM12.93 juta.
Selain nilai pelancongan, inisiatif ini turut memainkan peranan penting dalam menyokong ekonomi luar bandar, memelihara warisan budaya dan memperkukuhkan produk pelancongan berasaskan komuniti.
Sebagai produk pelancongan niche, pakej sambutan Aidiladha ini menawarkan pengalaman perayaan kampung yang unik.
Antara tarikan utama termasuk demonstrasi melapah daging sebagai sebahagian daripada ibadah korban, aktiviti gotong-royong memasak atau merewang, selain aktiviti kampung berpandu dan peluang pertukaran budaya bersama komuniti setempat.

Pengalaman ini memberi gambaran lebih dekat kepada pelawat mengenai tradisi perayaan di Malaysia dalam suasana yang bermakna dan interaktif.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim berkata, Malaysia menawarkan lebih daripada sekadar destinasi pelancongan.
"Kami berkongsi pengalaman yang membolehkan pelawat mendekati rakyat, budaya dan tradisi negara ini. Pengalaman pelancongan yang autentik serta dipacu komuniti seperti program homestay ini bukan sahaja memperkayakan pengalaman pelawat, malah turut memberi impak ekonomi kepada masyarakat setempat," tambahnya.
Sepanjang tahun 2025, Malaysia merekodkan 21.1 juta ketibaan pelawat dari Singapura, meningkat 11.8 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Pertumbuhan positif ini membuktikan kepentingan Singapura sebagai pasaran utama yang terus menyokong industri pelancongan Malaysia, khususnya dalam segmen pelancongan mesra Muslim.
Tourism Malaysia akan terus memperkukuhkan usaha promosi dengan memberi tumpuan kepada segmen bernilai tinggi termasuk pelancongan mesra Muslim, pelancongan budaya dan berasaskan pengalaman serta pelancongan komuniti, dengan sokongan strategik agensi dan rakan kerjasama seperti Islamic Tourism Centre dan Homestay Kampung Sarang Buaya bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk pengalaman pelancongan yang bermakna.