Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Tourism Malaysia Raih Penghargaan Tertinggi Di Arabian Travel Awards 2025
DUBAI, 25 November 2025 – Tourism Malaysia sekali lagi mengukir kejayaan di persada antarabangsa apabila menerima dua pengiktirafan tertinggi, iaitu “Best National Tourism Organisation (NTO) Southest Asia” dan “Best Destination Marketing Initiatives” di Arabian Travel Awards edisi ke-8. Majlis anugerah berprestij itu berlangsung di Embassy Suites by Hilton Dubai Business Bay.
Pengiktirafan ini membuktikan kedudukan kukuh Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi pasaran Timur Tengah dan mengukuhkan lagi komitmen Tourism Malaysia dalam melaksanakan inisiatif promosi serta pemasaran berimpak tinggi menjelang Visit Malaysia 2026 (VM2026).
Pengarah Tourism Malaysia Dubai, Mohd Faharuddin Hatmin telah menerima anugerah tersebut bagi pihak Tourism Malaysia.
Majlis penganugerahan itu turut dihadiri lebih daripada 100 wakil utama termasuk daripada perdagangan pelancongan Timur Tengah, sektor perhotelan serta media serantau, khususnya bagi pasaran Timur Tengah.
“Kami benar-benar berbesar hati dengan pengiktirafan ini yang mencerminkan komitmen Tourism Malaysia dalam mempromosikan kepelbagaian produk pelancongan Malaysia.
“Menjelang Visit Malaysia 2026, kami akan terus memperhebat jangkauan pasaran, mengukuhkan kerjasama strategik, serta memperluaskan ketersambungan udara bagi memastikan pertumbuhan yang kukuh dan mampan untuk rantau ini,” ujar Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Manoharan Periasamy.

Malaysia turut merekodkan 28.2 juta ketibaan pelawat antarabangsa dari Januari hingga Ogos 2025, mewakili peningkatan sebanyak 14.5 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2024.
Pertumbuhan positif ini mencerminkan daya tarikan kukuh landskap pelancongan Malaysia, yang merangkumi bandar-bandar raya yang meriah, pulau-pulau yang indah, kaya dengan warisan budaya dan kepelbagaian gastronomi.
Melangkah ke hadapan, pengiktirafan ini akan mengukuhkan lagi persiapan strategik negara bagi Visit Malaysia 2026 (VM2026), yang turut menyasarkan 47 juta pelawat antarabangsa.
Peningkatan aksesibiliti udara turut menjadi sebahagian daripada usaha ini, termasuk penerbangan harian Batik Air dari Dubai ke Kuala Lumpur yang akan bermula pada 1 Januari 2026 yang turut melengkapi rangkaian sedia ada oleh Emirates, Etihad, Flydubai. AirArabia dan lain-lain.