Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Malaysia dan Thailand bersetuju mempercepat pelaksanaan penyelesaian isu perikanan yang sekian lama tertangguh dengan sasaran pelaksanaan dalam tempoh seminggu, berbanding cadangan asal selama satu bulan setengah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, persetujuan itu dicapai bersama rakan sejawatnya dari Thailand, Anutin Charnvirakul dalam usaha memastikan isu berkenaan dapat diselesaikan dengan lebih pantas demi kepentingan kedua-dua negara.
“Kami telah menyelesaikan isu tertunggak berkaitan perikanan dengan komitmen kedua-dua menteri.
“Mereka (sebelumnya) mahu memorandum itu diteruskan dan berkuat kuasa dalam tempoh satu bulan setengah.
“Kami bersetuju ia perlu dikuatkuasakan dalam tempoh seminggu,” katanya pada sidang media bersama di sini, hari ini yang disiarkan menerusi Facebook beliau.
Terdahulu, kedua-dua pemimpin menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Pertanian antara Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Pertanian dan Koperasi Thailand, Suriya Jungrungreangkit.
Sementara itu, Anutin berkata beliau mengalu-alukan hasil pertemuan antara menteri pertanian kedua-dua negara yang berjaya mencapai penyelesaian secara baik terhadap isu akses pasaran bagi produk perikanan dan pertanian yang sebelum ini masih tertangguh.
Dalam pada itu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa MoU berkenaan menyediakan kerangka kerjasama yang komprehensif dalam pelbagai bidang strategik.
Menurut kementerian itu, kerjasama tersebut meliputi sektor tanaman, penternakan, perikanan, fasilitasi perdagangan dan pemasaran produk pertanian, penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembangunan kapasiti, biosekuriti serta langkah sanitari dan fitosanitari (SPS), selain bidang lain yang dipersetujui bersama.
Katanya, kerangka itu dijangka memperkukuh mekanisme komunikasi dan penyelarasan antara agensi berkaitan di kedua-dua negara sekali gus membolehkan isu melibatkan sektor pertanian dan agromakanan ditangani secara lebih pantas, berkesan dan proaktif.
Anutin tiba di Malaysia hari ini bagi memulakan lawatan rasmi selama dua hari atas jemputan Anwar.
Pesawat khas yang membawa beliau bersama isterinya, Thananon Charnvirakul, mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 11.11 pagi.
Lawatan itu merupakan kunjungan rasmi pertama Anutin ke Malaysia sejak dilantik semula sebagai Perdana Menteri Thailand pada Mac lalu.