Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

MARA Lantik Warden MRSM Bekas Tentera Sepenuh Masa
“Tegas pada prinsip, hikmah pada pendekatan. Dengar sebelum menghukum, nasihat sebelum menegur, memulih sebelum mendisiplin.”
Itulah yang ditegaskan oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Kenyataan itu dibuat selepas beliau bertemu dengan kumpulan pertama warden Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) lantikan sepenuh masa daripada kalangan bekas polis dan tentera.

Menurut beliau, kumpulan pertama warden yang dilantik akan memulakan tugas di MRSM Besut dan MRSM Balik Pulau mulai Isnin ini.
“Ini merupakan inisiatif terbaru MARA untuk memastikan isu buli dan kes-kes disiplin lain dapat dikekang di samping menjamin persekitaran pembelajaran di MRSM yang selamat dan sejahtera buat semua pelajar sebagaimana yang pernah saya sebut beberapa bulan lalu.
“Warden-warden yang dipilih ini sudah melalui siri-siri tapisan termasuk sesi temu ramah komprehensif untuk memastikan pesara-pesara dari kalangan anggota beruniform ini benar-benar memenuhi kriteria yang digariskan oleh MARA,” jelas beliau.
Tambah beliau, peranan warden sangat penting kerana asrama MRSM dianggap sebagai rumah kedua bagi pelajar untuk mempelajari adab hidup bermasyarakat, pengurusan masa, amanah dan tanggungjawab.
“Justeru, peranan warden bukan sekadar menjaga rutin harian; warden ialah pendidik watak—ibu bapa kedua—yang memastikan keselamatan terjaga, disiplin terbina dan kasih sayang dibudayakan. Tiada toleransi terhadap salah laku, namun pendekatannya mendidik, memulih dan adil.
Sebelum ini, Asyraf Wajdi memaklumkan bahawa MARA bercadang melantik warden asrama daripada kalangan bekas anggota polis dan tentera.
Kata beliau, langkah itu diambil bagi menangani kes buli di asrama sekolah yang berada di bawah seliaan majlis tersebut.
Beliau juga berkata MARA akan memantau tempoh percubaan selama enam bulan bagi melihat pro dan kontra inisiatif berkenaan.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata pelantikan warden dalam kalangan bekas anggota tentera dan polis bukan bermakna ia akan mengadaptasi kekerasan sebagai cara mendisiplinkan pelajar.
Sebaliknya, MARA menilai keupayaan bekas anggota beruniform ini dalam memantau pelajar asrama.
Mereka juga boleh bertugas sepenuh masa, berbanding warden dalam kalangan guru sebelum ini yang sedikit sebanyak terikat dengan tugas hakiki sebagai pendidik.
BACA: Majlis Bacaan Yasin, Solat Hajat Diadakan Buat Zara Qairina
Sumber: Dr Asyraf Wajdi Dusuki