Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Marina Ibrahim Dilantik Pegawai Khas, Jaga Kebajikan Masyarakat Orang Asli Di Johor

MARINA
Kredit: Dewan Negeri Johor

ISKANDAR PUTERI, 6 Sept (Bernama) -- Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai Marina Ibrahim dilantik sebagai pegawai khas bagi menjaga kebajikan masyarakat Orang Asli di Johor.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata pelantikan Marina melalui Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) adalah atas perkenan dan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

“Baru-baru ini dengan perkenan dan titah Kebawah Duli Tuanku Yang di-Pertuan Agong yang juga Sultan Johor (Sultan Ibrahim), ada pegawai khas baharu selain Md Israk Abdullah iaitu Exco luar bandar yang menjaga kebajikan Orang Asli.

“Kebawah Duli Tuanku telah melantik Marina selaku pegawai yang akan menjaga kebajikan Orang Asli melalui YSIJ,” katanya berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Karnival Sukan Orang Asli (KSOA) Peringkat Kebangsaan 2026 di sini hari ini.

Marina ketika ditemui pemberita berkata pelantikannya itu tidak mempunyai kaitan dengan politik.

“Jawatan ini bukannya satu lantikan politik, sebaliknya atas perkenan Sultan Johor sendiri untuk saya menggalas tanggungjawab ini. Lagipun, saya sendiri tidak berada di dalam mana-mana parti,” katanya.

Beliau menyifatkan pelantikan itu sebagai satu amanah besar dan sedia untuk digalas, berbekalkan pengalaman luas dalam aktiviti sukarelawan bersama masyarakat Orang Asli sebelum ini.

Fokus utamanya untuk memastikan perubahan positif dapat dilaksanakan demi kesejahteraan komuniti berkenaan selain memperkasakan aspek pendidikan dan ekonomi mereka.

“Kita tidak akan bergerak sendiri, sebaliknya bekerjasama seiring dengan agensi-agensi kerajaan, Exco dan Kerajaan Negeri Johor bagi meningkatkan serta menjaga kebajikan mereka (Orang Asli),” katanya.

Marina berkata beliau akan mula turun ke lapangan minggu depan bagi mendapatkan maklumat berkaitan isu Orang Asli untuk disalurkan terus kepada pihak kerajaan negeri bagi tindakan penyelesaian.

Marina yang menyertai DAP pada 2017 merupakan bekas ADUN Skudai selepas memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022.

Beliau bagaimanapun mengumumkan tidak mempertahan kerusi itu pada PRN lepas dan berundur daripada arena politik.

-- BERNAMA

Intipati
  • Marina Ibrahim dilantik pegawai khas menjaga kebajikan masyarakat Orang Asli di Johor.
  • Pelantikan melalui YSIJ dibuat atas perkenan dan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
  • Marina berkata beliau akan turun ke lapangan minggu depan mengumpul maklumat isu Orang Asli.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan