Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Maritim Malaysia Rampas 325 Liter Petrol Di Perairan Kuala Perlis

MARITIM
Kredit: Facebook Maritim Malaysia

Maritim Malaysia Rampas 325 Liter Petrol Di Perairan Kuala Perlis

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Kuala Perlis menahan sebuah sampan kayu tanpa nombor pendaftaran yang membawa 325 liter petrol dipercayai untuk tujuan penyelewengan dalam satu operasi di perairan Kuala Perlis, awal pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Nak Rong Si Prom berkata, kejayaan itu hasil maklumat risikan serta pemantauan berterusan menerusi Op Aman dan Op Tiris bagi membanteras aktiviti penyeludupan serta penyelewengan barang kawalan di perairan Perlis.

Menurut beliau, sebuah bot ronda Maritim Malaysia yang sedang menjalankan rondaan telah mengesan sebuah sampan kayu dalam keadaan mencurigakan dan ditinggalkan kira-kira 0.1 batu nautika dari pesisir pantai Muara Kuala Perlis.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan kira-kira jam 5.15 pagi mendapati sampan kayu berkenaan tidak mempunyai nombor pendaftaran serta membawa 13 tong minyak jenis Jerry Can yang mengandungi keseluruhan 325 liter petrol,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki memiliki dan mengendalikan barang kawalan tanpa kebenaran yang sah.

Katanya, sampan kayu bersama muatan petrol yang dianggarkan bernilai hampir RM18,000 itu telah dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Perlis untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Menurut Nak Rong, kejayaan tersebut membuktikan komitmen berterusan Maritim Malaysia dalam memastikan bekalan barang kawalan tidak disalah guna atau diseleweng bagi tujuan yang menyalahi undang-undang.

“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan, penyelewengan atau pengangkutan barang kawalan tanpa kebenaran.

“Rondaan, risikan dan operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan, khususnya di kawasan perairan sempadan Perlis,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan, jenayah maritim atau sebarang insiden kecemasan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Perlis di talian 04-985 1072 atau 04-985 1162, atau talian kecemasan 999 bagi membolehkan tindakan segera diambil.