Pernah tak ketika sedang duduk atau baring, tiba-tiba kelopak mata kanan atau kiri bergerak-gerak sendiri tanpa boleh dikawal?
Kadang-kadang ia berlaku sekejap sahaja, tetapi ada juga yang mengalaminya berulang kali sehingga membuatkan kita tertanya-tanya puncanya.
Dalam masyarakat kita, mata yang bergerak-gerak sering dikaitkan dengan pelbagai kepercayaan, termasuk kononnya ada seseorang sedang merindui kita atau sesuatu bakal berlaku.
Sebenarnya, pergerakan kecil pada kelopak mata ini mempunyai penjelasan dari sudut perubatan dan biasanya tidak berkait dengan petanda tertentu.
Mata Bergerak-Gerak, Tanda Anda Perlukan REhat
Menurut Public Health Malaysia, keadaan mata yang bergerak-gerak ini biasanya dikenali sebagai eyelid myokymia, iaitu pengecutan kecil pada otot kelopak mata yang berlaku tanpa disengajakan.
Keadaan ini lazimnya tidak berbahaya dan boleh berlaku pada sebelah mata sahaja, sama ada bahagian kanan atau kiri.
Malah, Mayo Clinic menjelaskan bahawa myokymia merupakan jenis mata bergerak-gerak yang paling biasa dan kebiasaannya akan hilang sendiri dalam tempoh singkat, walaupun boleh berulang selama beberapa jam atau hari.
Jadi, kalau mata kanan bergerak-gerak, tidak semestinya ada orang sedang teringatkan kita.
Begitu juga jika mata kiri pula tiba-tiba berdenyut, ia bukan petanda seseorang bakal menangis atau sesuatu yang buruk akan berlaku.

Kurang Tidur Antara Pencetus Mata Bergerak-Gerak
Antara perkara yang boleh mencetuskan keadaan ini ialah keletihan dan kurang tidur, terutama apabila badan tidak mendapat rehat yang mencukupi.
Tekanan juga boleh menjadi salah satu punca, termasuk ketika seseorang melalui hari yang terlalu sibuk atau berdepan tekanan kerja yang berpanjangan.
Selain itu, pengambilan kafein secara berlebihan, ketegangan mata dan kerengsaan pada permukaan mata turut dikaitkan dengan mata yang bergerak-gerak.
Kalau seharian bekerja di hadapan komputer kemudian sambung pula menatal telefon hingga tengah malam, tidak hairanlah mata terasa semakin penat.
Penggunaan skrin untuk tempoh yang lama juga boleh meningkatkan risiko mata kering kerana kita cenderung mengurangkan kadar kelipan mata ketika memberi tumpuan pada skrin.
Bila Mata Mula Bergerak-Gerak, Cuba Semak Rutin Harian
Sebelum risau atau mengaitkannya dengan petanda tertentu, cuba perhatikan kembali rutin harian sendiri.
Adakah tidur kebelakangan ini cukup?
Berapa banyak kopi atau minuman berkafein yang diminum dalam sehari?
Berapa lama masa dihabiskan di hadapan komputer atau telefon?
Adakah mata terasa pedih, kering atau penat?
Atau mungkin badan sedang berdepan tekanan dan tidak mendapat rehat yang secukupnya?
Dalam kebanyakan kes, mengurangkan pencetus seperti kafein, mendapatkan rehat yang mencukupi dan menguruskan tekanan boleh membantu mengurangkan mata yang bergerak-gerak.

Jangan Abaikan Jika Berlarutan
Walaupun kebanyakan kes tidak serius, mata yang bergerak-gerak tidak sepatutnya dianggap remeh jika keadaan itu berlarutan atau disertai gejala lain.
Menurut Mayo Clinic, pemeriksaan doktor boleh dipertimbangkan jika pergerakan tersebut tidak berhenti selepas beberapa minggu, kelopak mata tertutup sepenuhnya ketika bergerak atau seseorang mengalami kesukaran untuk membuka mata.
Pemeriksaan juga wajar dilakukan jika pergerakan berlaku pada bahagian muka atau badan yang lain, mata menjadi merah atau bengkak, terdapat lelehan pada mata atau kelopak mata mula jatuh.
Jadi, kalau malam ini kelopak mata mula bergerak-gerak sendiri, mungkin tidak perlu sibuk memikirkan siapa yang sedang merindui kita.
Sebaliknya, cuba letakkan telefon, rehatkan mata dan beri tubuh peluang untuk mendapatkan tidur yang mencukupi.
Kadang-kadang bukan orang lain yang sedang mengingati kita, tetapi badan sendiri yang sedang minta sedikit masa untuk berehat.

