Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

MBAS Serbu Premis Industri Dijadikan Sekolah Rohingya

MBAS
Kredit: Facebook MBAS

MBAS Serbu Premis Industri Dijadikan Sekolah Rohingya

Tindakan sebuah premis industri di Kompleks Perniagaan Shahab Perdana yang dipercayai dijadikan sekolah untuk etnik Rohingya akhirnya terbongkar selepas diserbu Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), semalam.

Datuk Bandar Alor Setar, Abdul Gafar Yahya berkata, serbuan itu dilakukan susulan isu yang tular di media sosial baru-baru ini berhubung dakwaan kewujudan sebuah sekolah untuk komuniti berkenaan.

Menurutnya, operasi tersebut dijalankan menerusi Bahagian Penguatkuasaan MBAS bersama Jabatan Perancangan Pembangunan bagi mengesahkan maklumat serta menilai tahap pematuhan premis terhadap peraturan dan undang-undang sedia ada.

“Hasil siasatan mendapati premis itu disewa dan digunakan sebagai sekolah yang menempatkan seramai 26 kanak-kanak Rohingya yang tinggal di kawasan berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan awal pagi tadi.

Beliau berkata, pemeriksaan turut mendapati pihak pengurusan mengenakan yuran sebanyak RM100 sebulan bagi setiap pelajar.

Katanya, susulan penemuan itu, pihak penguat kuasa telah merekodkan maklumat pemilik premis dan penyewa bagi tujuan siasatan lanjut.

Kredit: MBAS

Tambahnya, tindakan lanjut akan dilaksanakan bersama agensi berkaitan mengikut bidang kuasa masing-masing.

“Kes ini akan diambil tindakan atas kesalahan salah guna premis industri dan akan dirujuk kepada Jabatan Pendidikan Negeri Kedah berhubung pengoperasian institusi pendidikan tanpa kebenaran.

“Pada masa sama, ia turut dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk penelitian lanjut berkaitan status permit warga asing yang terlibat,” ujarnya.

Abdul Gafar berkata, MBAS komited memastikan setiap premis dalam kawasan pentadbirannya mematuhi syarat penggunaan yang telah diluluskan demi menjaga ketenteraman awam serta kepentingan masyarakat.