Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Wabak Ebola Di Congo Makin Merebak, Lebih 400 Maut Setakat Ini

EBOLA
Kredit: AFP

Wabak Ebola Di Congo Makin Merebak, Lebih 400 Maut Setakat Ini

Wabak Ebola yang melanda Republik Demokratik Congo (DRC) terus menunjukkan peningkatan membimbangkan apabila lebih 400 orang dilaporkan maut, selain kes jangkitan kini merebak ke bandar utama, lapor The Japan Times.

Menurut laporan terkini Institut Kesihatan Awam Kebangsaan (INSP), wabak yang diisytiharkan sejak 15 Mei lalu itu telah meragut 438 nyawa daripada 1,406 kes disahkan positif, menjadikan kadar kematian melebihi 31 peratus.

Wilayah Ituri di timur laut Congo dikenal pasti sebagai pusat utama penularan dengan lebih 83 peratus kematian direkodkan di kawasan berkenaan.

Menurut pihak berkuasa kesihatan, virus itu kini turut merebak ke wilayah berhampiran termasuk North Kivu dan South Kivu, selain satu kes pertama dikesan di Kisangani, bandar utama berpenduduk sekitar 1.5 juta orang yang terletak hampir 600 kilometer dari pusat wabak.

Kes di Kisangani membabitkan seorang wanita hamil berusia 24 tahun yang disahkan positif Ebola selepas meninggal dunia.

Menurut INSP, mayat mangsa dipercayai dibawa secara rahsia menaiki motosikal dari zon kesihatan Nia Nia di Ituri ke Kisangani, sekali gus meningkatkan risiko penularan.

Pihak kesihatan menjelaskan, mayat mangsa Ebola masih sangat berjangkit dan boleh menjadi punca jangkitan baharu terutama ketika urusan pengebumian.

Presiden DRC, Felix Tshisekedi berkata, wabak itu tidak mengenal sempadan dan memerlukan kerjasama semua pihak bagi membendung penularannya.

Dalam pada itu, Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa menggesa dunia supaya tidak mengenakan sekatan perjalanan ke atas Congo, sebaliknya terus membantu usaha menangani wabak tersebut.

Menurut laporan, strain Bundibugyo dikenal pasti sebagai punca wabak kali ini dan setakat ini masih tiada vaksin atau rawatan khusus yang diluluskan.

Bagaimanapun, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan ujian klinikal bagi dua rawatan berpotensi iaitu antibodi monoklonal MBP134 dan ubat antiviral remdesivir sudah dimulakan, namun keputusan muktamad dijangka mengambil masa beberapa bulan.

Situasi di lapangan turut diburukkan dengan tindakan sekumpulan penduduk yang membakar sebuah pusat rawatan Ebola di Nia Nia pada Rabu lalu.

Menurut pegawai perubatan kawasan, Joseph Pemanakue, tujuh pesakit yang sedang dikuarantin berjaya melarikan diri selepas kejadian dan masih belum ditemui.

Katanya, dua mayat yang dipercayai meninggal dunia akibat Ebola turut dibawa lari oleh kumpulan terbabit kerana mereka mendakwa penyakit itu hanyalah “perniagaan” pihak tertentu.

Insiden itu turut menyebabkan seorang anggota polis maut selepas diserang penunjuk perasaan, manakala dua lagi cedera parah.

Pihak kesihatan memberi amaran bahawa tindakan membawa lari mayat mangsa Ebola itu boleh mencetuskan gelombang jangkitan baharu.

Sehingga kini, Ebola telah meragut lebih 15,000 nyawa di Afrika sepanjang 50 tahun lalu, manakala wabak paling buruk di Congo antara 2018 hingga 2020 merekodkan hampir 2,300 kematian.