Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

MBSA Tampil Jelaskan Isu Laluan Pejalan Kaki LRT3, Kerja Naik Taraf Dibuat Berperingkat

MBSA
Tangkap layar video Tiktok Kaki Jalan Kaki

MBSA Tampil Jelaskan Isu Laluan Pejalan Kaki LRT3, Kerja Naik Taraf Dibuat Berperingkat

Susulan tular beberapa rakaman video di media sosial yang mempersoalkan keadaan laluan pejalan kaki di sekitar stesen LRT3, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) tampil memberi penjelasan berhubung isu berkenaan.

MBSA dalam satu kenyataan berkata, pihaknya sentiasa komited memastikan kemudahan awam termasuk laluan pejalan kaki disediakan dalam keadaan selamat, selesa dan mudah diakses oleh orang ramai.

Menurut MBSA, ketika kelulusan pelan pembangunan stesen-stesen LRT3 pada tahun 2019, syarat penyediaan laluan pejalan kaki telah ditetapkan bagi menghubungkan stesen dengan kawasan tumpuan awam, pembangunan komersial dan kemudahan sekitar.

Bagi Stesen Dato’ Menteri, pihak majlis berkata pelan pembangunan yang diluluskan kepada Prasarana Malaysia Berhad mensyaratkan laluan pejalan kaki berbumbung selebar minimum lima kaki.

Katanya, laluan itu akan menghubungkan stesen berkenaan ke Shah Alam Convention Centre (SACC), Kompleks PKNS serta sepanjang Persiaran Bandaraya hingga ke bangunan Maybank.

“Pembinaan kemudahan ini sedang berjalan dan dijangka siap sepenuhnya pada September 2026,” katanya.

Dalam pada itu, MBSA berkata syarat sama turut dikenakan kepada pembangunan sekitar yang melibatkan PKNS, Nexus Pace Sdn Bhd dan Starhill Century Sdn Bhd bagi melengkapkan rangkaian laluan pejalan kaki di kawasan berkenaan.

Bagi Stesen Stadium Shah Alam pula, MBSA berkata pelan pembangunan yang diluluskan turut mensyaratkan laluan pejalan kaki dari Jalan Lontar Peluru 13/39 ke Jalan Tukul Besi 13/41 serta di Persiaran Sukan berhampiran Management and Science University (MSU).

Menurutnya, laluan pejalan kaki sedia ada dari Jalan Tukul Besi 13/41 ke tapak gantian tempat letak kereta juga diarahkan untuk dinaik taraf.

Katanya, syarat tersebut turut melibatkan beberapa pembangunan sekitar termasuk MSU Aset Sdn Bhd, PKNS, Fernline Corporation Sdn Bhd, Moripark Sdn Bhd dan Lebaran Prospek Sdn Bhd bagi memastikan jaringan pejalan kaki dapat dibangunkan secara berperingkat.

MBSA berkata, pihaknya memahami keperluan pengguna yang mahukan akses pejalan kaki lebih menyeluruh selari dengan operasi LRT3.

Sebagai langkah segera, ujarnya, kerja penyediaan laluan pejalan kaki sepanjang 200 meter dari Stesen Stadium Shah Alam ke lampu isyarat Persiaran Sukan/Persiaran Akuatik akan dilaksanakan dalam tempoh sebulan.

Tambahnya, bagi laluan sambungan dari Persiaran Akuatik ke AEON Mall Shah Alam, proses pelantikan kontraktor kini sedang dijalankan untuk kerja-kerja naik taraf.

MBSA berkata, pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan serta pemaju bagi memastikan rangkaian laluan pejalan kaki di semua stesen LRT3 dalam kawasan pentadbirannya dapat dilaksanakan secara lebih terancang dan memberi manfaat kepada pengguna pengangkutan awam.