Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Malaysia menyambut baik persefahaman yang dicapai antara Amerika Syarikat dan Iran bagi menamatkan konflik yang berlarutan sejak beberapa bulan lalu, namun menegaskan keamanan yang dicapai masih rapuh dan perlu dipertahankan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia turut merakamkan penghargaan kepada negara-negara Teluk, Turkiye, Pakistan serta pihak lain yang memainkan peranan penting dalam menjayakan memorandum persefahaman (MoU) berkenaan.
Menurut beliau, perkembangan mutakhir menunjukkan situasi keamanan di rantau Asia Barat masih belum benar-benar stabil dan boleh tergugat pada bila-bila masa.
“Pematuhan terhadap semua syarat gencatan senjata serta pembukaan semula Strait of Hormuz kepada pelayaran antarabangsa perlu dianggap sebagai satu keutamaan yang amat mendesak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Meja Bulat Asia-Pasifik (APR) Ke-39 di sini hari ini.
Anwar berkata, konflik berterusan di rantau itu telah memberi kesan besar terhadap ekonomi global, khususnya dari sudut harga makanan dan tenaga.
Katanya, banyak negara kini terpaksa berdepan tekanan bekalan apabila harga terus meningkat susulan ketidaktentuan geopolitik.
“Harga makanan dan tenaga kekal tinggi apabila negara-negara berusaha mendapatkan bekalan.
“Berbilion dolar yang sepatutnya boleh digunakan untuk pembangunan sosial dan ekonomi telah dialihkan untuk memperoleh keperluan asas. Ini bukan sekadar angka di atas kertas, ia memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan perhatian dunia tidak boleh dialihkan daripada situasi keseluruhan di Asia Barat, terutama pertumpahan darah yang berterusan di Palestin.
Menurutnya, krisis kemanusiaan di Gaza serta pengeboman berterusan di Lubnan perlu terus diberi perhatian oleh masyarakat antarabangsa.
Beliau berkata, penjajahan, penindasan dan perampasan hak rakyat Palestin yang berterusan merupakan sebahagian daripada kempen kolonialisme peneroka oleh golongan Zionis.
“Sejarah mengingatkan kita tentang perjuangan panjang menentang penjajahan untuk mendapatkan semula tanah air dan kemerdekaan.
“Persoalannya, adakah kita sanggup berdiam diri ketika bentuk penjajahan yang keji ini terus berlaku tanpa sebarang tindakan?” katanya.