Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

MEGA HALAL Bangkok Kembali Lagi, Peluang Syarikat Malaysia Luaskan Pasaran Halal Antarabangsa

MEGA HALAL Bangkok

Kuala Lumpur, 2 Julai -- Selepas kejayaan pada 2025, pameran MEGA HALAL Bangkok kembali lagi pada tahun ini dan memberi peluang kepada syarikat Malaysia untuk memperluaskan penguasaan dalam pasaran halal antarabangsa.

Pameran itu akan berlangsung pada 15 hingga 17 Julai depan di Queen Sirikit National Convention Center (QSNCC), Bangkok Thailand.

Ia dianjurkan oleh Comasia Limited bersama SHAPERS (Pengasas MIHAS dan HALFEST Malaysia), Thailand Food Institute (NFI) dan Thai Muslim Trade Association (TMTA).

Pameran kali ini menghimpunkan pemain industri, pembeli dan pengedar dari seluruh rantau ASEAN serta pasaran global.

Selain itu, ia juga dijangka menjadi antara platform perdagangan halal paling signifikan dan terbesar di Asia Tenggara.

Comasia menerusi satu kenyataan berkata penganjuran tersebut berlangsung serentak dengan MEGA SHOW Bangkok, sekali gus meningaktakn kehadiran pembeli perdagangan antarabangsa serta memperkukuhkan kedudukan Thailand sebagai hab perdagangan utama di rantau ASEAN.

"Lebih 200 pempamer daripada 10 negara dan wilayah dijangka mengambil bahagian dalam MEGA HALAL Bangkok 2026 yang merangkumi pelbagai segmen industri termasuk makanan dan minuman, kosmetik, penjagaan diri, kesihatan dan kesejahteraan, farmaseutikal, fesyen Muslim, gaya hidup serta teknologi halal

"Antara negara yang telah mengesahkan penyertaan ialah Thailand, Malaysia, Indonesia, Korea Selatan, Jepun, Tanah Besar China dan Taiwan, sekali gus menjadikan pameran itu sebagai platform penting untuk mempromosikan inovasi serta produk halal dari Asia kepada pasaran dunia," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, siri jelajah promosi telah dilaksanakan sejak beberapa bulan lalu di beberapa hab halal utama termasuk Malaysia, Thailand, Indonesia, Jepun dan China bagi memastikan penyertaan antarabangsa yang lebih meluas.

Kempen itu turut mendapat sokongan pelbagai organisasi halal serta rakan media antarabangsa di Afrika Selatan, Korea Selatan, Pakistan dan Bangladesh bagi memperluaskan capaian kepada komuniti perniagaan halal global.

"Di Indonesia, organisasi terkemuka seperti Halal Indo dan Debindo turut bekerjasama mempromosikan penyertaan syarikat-syarikat tempatan, sekali gus memperkukuhkan penglibatan negara yang mempunyai populasi Muslim terbesar di dunia.

"Dalam usaha menarik lebih ramai pembeli profesional antarabangsa, kempen promosi berskala besar turut dijalankan di beberapa hab penerbangan utama termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Bangkok Suvarnabhumi, Soekarno-Hatta Jakarta dan Hong Kong International Airport," ujarnya.

Pengarah Comasia Limited, Peter Cheung

Dalam pada itu, beberapa syarikat peruncitan utama Asia seperti Big C dan Lotus's dari Thailand serta Indomaret dari Indonesia telah mengesahkan penyertaan sebagai pembelian perdagangan.

Ia sekali gus membuka peluang kepada pempamer untuk menjalin kerjasama komersial secara langsung dengan rangkaian pengedaran terbesar di rantau ini.

Penganjur tawar penginapan percuma di hotel 5 bintang

Menariknya, pembeli perdagangan dan peserta antarabangsa yang layak akan mendapat insentif eksklusif dari penganjur iaitu penginapan percuma selama dua malam di hotel lima bintang mesra halal.

Selaras dengan inisiatif tersebut, Al Meroz Hotel Bangkok, hotel mewah pertama di Thailand yang diperakui halal, telah dilantik sebagai Rakan Hotel Rasmi MEGA HALAL Bangkok 2026, sekali gus memperkukuhkan pengalaman hospitaliti mesra halal sepanjang penganjuran.

Syarikat Malaysia, khususnya PKS, pengeluar makanan, kosmetik, farmaseutikal, fesyen Muslim dan produk gaya hidup halal digalakkan supaya merebut peluang menyertai MEGA HALAL Bangkok 2026 bagi memperluaskan jaringan perniagaan serta menembusi pasaran halal ASEAN dan dunia.