Meja Infaq Ramadan 2024 Di Pintu Gerbang Homestay Lonek, Bermula Hari Ini
Pengurus Operasi Hub Makanan Vendor @ Pintu Gerbang Homestay Lonek akan mulakan program Meja Infaq Ramadan 2024 di hub makanan vendor hari ini.
Menurut Sinar Harian, sesiapa sahaja sama ada pelanggan, vendor, peniaga yang datang boleh meletakkan makanan di meja infaq tersebut.
Pengurus Operasi Hub Makanan Vendor, Nurulazma Shafiqah Khairul Azhar menjelaskan usaha ini bertujuan bagi membantu keluarga yang kurang berkemampuan atau golongan sasar.
Selain itu, program dilakukan untuk mereka mendapatkan juadah berbuka puasa dan mungkin ada menu yang boleh dibawa sehingga ke waktu bersahur.
“Mungkin mereka ini tidak mampu nak beli juadah berbuka hanya makan roti dan air kosong sahaja, atau berbuka puasa cukup-cukup sahaja
Disebabkan faktor kewangan, anak ramai, gaji lambat atau apa jua keadaan mendesak datanglah ambil,” katanya kepada wartawan Sinar Harian.
Golongan asnaf, miskin tegar, ibu tunggal, anak yatim, musafir dan mualaf juga dialu-alukan datang untuk mengambil juadah tersebut.
Menurut Nurulazma, waktu ambil makanan pula bermula pada jam 6 hingga 7 petang atau sehingga makanan habis di ambil yang mana program ini berjalan setiap hari kecuali pada hari cuti Hub Makanan Vendor iaitu pada hari Isnin.
“Kenapa jam 6 petang, sebab kami kumpul dahulu sumbangan makanan dari vendor, peniaga atau pelanggan yang datang,” jelasnya.
Sekiranya ada lebihan makanan selepas jam 8 malam dan masih baik untuk dimakan, pihaknya akan menghantarnya ke surau atau masjid berdekatan untuk moreh.
“Semoga usaha ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka yang dalam kesusahan dan memberikan keceriaan buat mereka semua.
“Justeru, jangan malu jangan segan, datang, ambil dan bawa lah pulang ikut keperluan jangan ada yang membazir,” tambahnya lagi seperti dilaporkan dalam Sinar Harian.
BACA: Tak Pulang Rumah Sejak 12 Mac, Sekolah & Ibu Minta Bantuan Tolong Kesan Anak
Sumber: Sinar Harian

