Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

MELAKA, 15 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa memang berlaku perbuatan “sakau” dalam Lembaga Tabung Haji (TH), susulan kehilangan dana berbilion ringgit yang dibangkitkan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan institusi berkenaan.
Menteri Kewangan itu berkata istilah “sakau” tidak sepatutnya dielakkan atau dipersoalkan, sekiranya fakta menunjukkan berlakunya kehilangan wang dalam institusi yang diamanahkan untuk mengurus simpanan umat Islam itu.
Anwar berkata tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab perlu diambil tanpa mengira kedudukan atau latar belakang politik, kerana kesan daripada perbuatan segelintir individu akhirnya terpaksa ditanggung oleh seluruh rakyat.
“Yang menyakau itu sesetengah sahaja, tetapi yang terpaksa bayar dan tanggung, seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama,” kata beliau.
Anwar pada masa sama mempersoalkan mengapa laporan RCI berkaitan TH yang telah siap sebelum beliau menjadi Perdana Menteri tidak didedahkan lebih awal.
Beliau berkata kerajaan tidak boleh membiarkan isu berkenaan terus disembunyikan atau dielakkan daripada perbahasan terbuka, termasuk di Parlimen pada Selasa lepas.
Dalam hal itu, Perdana Menteri merakamkan penghargaan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan dan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, atas keberanian tampil di Parlimen bagi menerangkan dan menjawab persoalan berkaitan RCI TH.
Anwar berkata arahan telah dikeluarkan, supaya tindakan tegas diambil terhadap mereka yang didapati melakukan kesalahan.
“Tidak kira dari parti mana, salah, tangkap dan dakwa,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata ketegasan dalam mengambil tindakan tidak seharusnya disifatkan sebagai dendam politik, malah beliau sendiri akan berdepan kritikan sama ada bertindak atau tidak bertindak.
Beliau berkata ada pihak yang kononnya pintar dan berpendidikan tinggi dilihat seolah-olah tegas dalam melawan rasuah dan salah guna kuasa, tetapi itu sekadar hipokrasi kerana jika tindakan diambil tidak memihak kepada pihak yang disokongnya, ia dianggap dendam.
“Walaupun dia kelihatan pintar tetapi itu penuh hipokrasi sebenarnya, kerana bila tidak ambil tindakan kamu lembab, tetapi apabila kita bertindak, itu dendam,” kata Anwar.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim turut menitahkan supaya usaha membongkar kelemahan pengurusan institusi berkaitan kepentingan rakyat, tidak terhenti setakat TH.
Beliau berkata selepas isu TH diselesaikan, perhatian akan diberikan kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), selaras dengan amanah yang dipikul kerajaan untuk memastikan institusi rakyat diurus secara telus dan bertanggungjawab.
Anwar menegaskan proses tindakan lebih tegas bermula sekarang bagi memastikan mereka yang melakukan kesalahan dipertanggungjawabkan, tanpa mengira kedudukan, parti atau pengaruh.