Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Barisan Nasional (BN) menegaskan tidak ada apa-apa yang hendak disembunyikan daripada rakyat, berkenaan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH).
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir memaklumkan bahawa pendirian BN itu adalah jelas dan konsisten.
"Pendirian BN adalah jelas dan konsisten, tidak ada apa-apa yang hendak disembunyikan daripada rakyat, khususnya kepada 10 juta pendeposit Tabung Haji.
"Hakikat bahawa laporan RCI telah dinyahklasifikasikan, dibentangkan secara terbuka, dan dibahaskan oleh Ahli-Ahli Dewan Rakyat membuktikan bahawa proses ketelusan dilaksanakan melalui saluran institusi negara yang sah," katanya.
"Laporan tersebut perlu diteliti secara objektif, berasaskan fakta dan bukti, bukannya dijadikan bahan penghukuman politik.
"Perbahasan juga turut mengesahkan bahawa RCI ini memfokuskan pada tempoh 2014 hingga 2020 sahaja.
"Oleh itu, adalah wajar kajian menyeluruh mengenai keseluruhan sejarah tadbir urus Tabung Haji dengan turut membuat penelitian terhadap tempoh-tempoh lain, termasuk perkembangan dan keputusan selepas tahun 2020 seperti peranan yang dimainkan oleh Urusharta Jemaah Sdn Bhd (UJSB) sejak penubuhannya sehingga kini," kata Zambry.

Zambry berkata dapatan RCI menyentuh isu tadbir urus, struktur kuasa, pemisahan fungsi dan mekanisme semak imbang. Perkara-perkara ini perlu dilihat sebagai asas untuk memperkukuh institusi Tabung Haji, bukan mencari keuntungan politik jangka pendek.
Menurutnya, BN menyambut baik usaha penambahbaikan yang telah dilaksanakan, termasuk pelaksanaan syor-syor RCI, dan berpandangan bahawa transformasi institusi perlu diteruskan secara konsisten.
Sementara itu, Zambry berkata pendedahan laporan RCI di Parlimen telah disokong sejak awal oleh pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
"Malah beliau turut mencadangkan supaya penelitian diperluaskan bagi memastikan ketelusan yang benar-benar menyeluruh.
"Ini menunjukkan bahawa BN tidak pernah mengambil pendirian untuk menutup ruang penelitian awam terhadap isu Tabung Haji.
"Kepentingan pendeposit mesti mengatasi kepentingan politik Tabung Haji bukan sekadar entiti kewangan. la adalah institusi umat Islam yang mempunyai amanah besar dalam pengurusan simpanan, pelaburan dan urusan ibadah haji.
"Oleh itu, semua pihak perlu mengelakkan tuduhan melulu, penghakiman politik sebelum proses perundangan selesai dan membuat naratif yang boleh menjejaskan keyakinan pendeposit tanpa asas yang bertanggungjawab.