Menakjubkan, Dua Sel 'Rahsia' Dalam Badan Ternyata Boleh Simpan Memori Seperti Otak
Memori merupakan salah satu aspek penting dalam kehidupan manusia.
Ia membolehkan seseorang mengingati pengalaman, pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh sepanjang hidup.
Proses menyimpan memori dalam manusia berlaku melalui interaksi kompleks antara otak dan sistem saraf.
Setiap pengalaman yang dialami akan diproses oleh otak, disusun dan disimpan dalam bentuk ingatan jangka pendek atau jangka panjang.
Untuk makluman, sel daripada pelbagai bahagian tubuh turut mempunyai keupayaan untuk menyimpan memori.
Justeru, SK kali ini ingin menjelaskan bagaimana sel lain dalam badan juga boleh belajar dan membentuk memori.
Berpotensi meningkatkan pembelajaran
Menurut portal New York University, sekumpulan saintis kini menemui bahawa sel daripada bahagian lain dalam badan turut mempunyai fungsi memori.
Penemuan ini membuka laluan baharu untuk memahami cara memori berfungsi serta berpotensi meningkatkan pembelajaran dan merawat masalah berkaitan memori.
Nikolay V. Kukushkin dari Universiti New York berkata pembelajaran dan memori biasanya dikaitkan hanya dengan otak dan sel-sel otak, tetapi kajian menunjukkan bahawa sel lain dalam badan juga boleh belajar dan membentuk memori.

Kajian ini memberi tumpuan untuk memahami sama ada sel bukan otak turut menyumbang kepada pembentukan memori dengan memanfaatkan satu sifat neurologi yang sudah lama dikenali, iaitu kesan massed-spaced.
Difahamkan, kesan ini menunjukkan bahawa seseorang cenderung mengingati maklumat dengan lebih baik apabila dipelajari secara berkala berbanding sesi tunggal yang padat, lebih dikenali sebagai cramming ketika peperiksaan.
Sel dapat meniru neurotransmitter dalam otak
Dalam kajian yang diterbitkan di Nature Communications, para saintis meniru proses pembelajaran dari masa ke masa dengan mengkaji dua jenis sel manusia bukan otak di makmal, satu daripada tisu saraf dan satu lagi daripada tisu buah pinggang.
Sel-sel ini didedahkan kepada corak isyarat kimia yang menyerupai neurotransmitter dalam otak semasa kita mempelajari maklumat baharu.
Sebagai tindak balas, sel bukan otak tersebut menghidupkan gen memori, gen yang sama diaktifkan oleh sel otak apabila mereka mengesan corak maklumat dan menyusun semula sambungan untuk membentuk memori.

“Pembelajaran dan memori biasanya dikaitkan hanya dengan otak dan sel-sel otak, tetapi kajian kami menunjukkan bahawa sel lain dalam badan juga boleh belajar dan membentuk memori,” ujar Kukushkin yang merupakan seorang profesor klinikal bersekutu dalam sains hayat di NYU Liberal Studies dan penyelidik di Pusat Sains Neural NYU.
Bagi memantau proses ini, para saintis membentuk sel bukan otak untuk menghasilkan protein bercahaya, yang membolehkan mereka melihat bila gen memori dihidupkan dan bila ia tidak aktif.

Hasil kajian menunjukkan bahawa sel-sel ini dapat mengesan bila denyutan kimia diulang, meniru neurotransmitter dalam otak, sama seperti neuron di otak kita yang lebih mudah mengingat maklumat apabila dipelajari secara berkala berbanding diserap dalam satu sesi padat.
Beri petunjuk kepada manfaat kesihatan
Apabila denyutan diberikan dalam selang masa, gen memori dihidupkan dengan lebih kuat dan bertahan lebih lama berbanding rawatan yang diberikan sekaligus.
“Ini mencerminkan kesan massed-space yang sedang berlaku
"Ia menunjukkan bahawa keupayaan untuk belajar melalui pengulangan berselang bukanlah unik kepada sel otak sahaja, malah mungkin merupakan sifat asas semua sel," jelasnya lagi.
Para penyelidik menekankan bahawa penemuan ini bukan sahaja menawarkan kaedah baharu untuk mengkaji memori, malah memberi petunjuk kepada manfaat kesihatan.

"Penemuan ini membuka pintu baharu untuk memahami cara memori berfungsi dan boleh membawa kepada kaedah lebih baik untuk meningkatkan pembelajaran serta merawat masalah memori
"Pada masa yang sama, ia mencadangkan bahawa pada masa depan, kita perlu menjaga badan kita seperti otak
"Contohnya, pertimbangkan apa yang diingati pankreas tentang corak pemakanan lalu untuk mengekalkan tahap gula dalam darah yang sihat atau apa yang diingati sel kanser tentang corak kemoterapi," tambah Kukushkin.