Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Menteri Indonesia Dakwa Mereka Lebih Layak ‘Tuntut’ Durian Sebagai Buah Kebangsaan
Menko Bidang Pangan Indonesia, Zulkifli Hasan atau lebih dikenali sebagai Zulhas, menarik perhatian baru-baru ini apabila berkongsi respon terhadap cadangan Malaysia untuk menjadikan durian sebagai buah kebangsaan.
Seperti dilapor CNBC Indonesia, Zulhas menegaskan bahawa negara seberang itu mempunyai alasan yang jauh lebih kuat untuk menuntut durian sebagai buah kebangsaan mereka.
“Indonesia menghasilkan hampir 2 juta tan durian pada 2024 menurut BPS. Jumlah ini jauh lebih tinggi berbanding Malaysia. Berdasarkan fakta ini, saya berpendapat durian wajar dianggap sebagai Buah Nasional Indonesia,” kata Zulhas dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut CNBC Indonesia, Zulhas berkata data BPS 2024 menunjukkan Indonesia menghasilkan 1.96 juta tan durian, jumlah tertinggi dalam lima tahun. Kebanyakan durian dihasilkan dari kawasan utama di Jawa, Sumatera, Kalimantan dan Sulawesi.
Katanya, laporan serantau juga menunjukkan pengeluaran durian Malaysia jauh lebih kecil, meskipun negara itu semakin berkembang melalui eksport durian premium seperti Musang King.
“Durian bukan sekadar komoditi (untuk dijual), tetapi juga sebahagian daripada budaya dan sumber rezeki bagi jutaan petani,” katanya.
Justeru, tegas Zulhas, jika mahu memilih buah sebagai simbol negara, keputusan itu perlu berdasarkan fakta yang jelas.
“Jika ingin membincangkan simbol nasional, keputusan itu mesti berdasarkan data dan realiti. Durian Nusantara adalah kekuatan kami di Asia. Menurut data BRIN, Indonesia memiliki 21 daripada 27 spesies durian yang dikenal di dunia, dan sehingga 2024 terdapat sekitar 114 varieti baharu yang diiktiraf sebagai varieti unggul,” tambahnya.
Tidak berhenti di situ, bagi mengukuhkan kedudukan negara seberang itu dalam hal ini, kerajaan Indonesia merancang mempromosikan jenama “Durian Nusantara”.
Selain itu, mereka juga merancang meningkatkan kualiti pengeluaran dan membuka lebih banyak peluang eksport produk durian ke pasaran antarabangsa, lapor CNBC Indonesia.
Dalam masa sama, CNBC Indonesia melaporkan Malaysia mencadangkan durian sebagai buah kebangsaan.
Menurut laporan The Straits Times seperti dilapor CNBC Indonesia, Persatuan Pengeluar Durian Malaysia (DMA) telah menghantar cadangan rasmi kepada kementerian berkaitan. Selain itu, DMA juga mencadangkan 7 Julai dijadikan Hari Durian Kebangsaan.
“Durian bukan sekadar buah biasa. Ia sebahagian daripada identiti nasional kita,” kata Presiden DMA, Eric Chan, menurut The Straits Times seperti dilapor CNBC Indonesia.
BACA: Lelaki Indonesia Dedah Sebab Malaysia Negara ‘Aneh’
Sumber: CNBC Indonesia