Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Mexico Bergolak, Infantino Yakin Perlawanan Piala Dunia Berjalan Lancar

Infantino piala dunia
Kredit: AFP

Mexico Bergolak, Infantino Yakin Perlawanan Piala Dunia Berjalan Lancar

Presiden Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino berkata bahawa beliau berasa sangat yakin terhadap penganjuran perlawanan Piala Dunia di Mexico.

Beliau berkata sedemikian susulan keganasan yang tercetus akibat pembunuhan seorang ketua kartel dadah, Nemesio ‘El Mencho’ Oseguera, oleh tentera.

“Sangat yakin, semuanya baik-baik saja. Ia akan menjadi sesuatu yang luar biasa,” kata Infantino di bandar Barranquilla, Colombia.

Mexico merupakan salah satu daripada tiga negara tuan rumah Piala Dunia, yang berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai, bersama Amerika Syarikat dan Kanada.

Negara itu, khususnya Guadalajara, digegarkan dengan keganasan susulan kematian ketua Kartel Jalisco New Generation (CJNG) yang berpengaruh.

Sekurang-kurangnya 74 orang terbunuh dalam operasi menahan Oseguera di sebuah ladang berhampiran Guadalajara serta pertempuran susulan antara pasukan keselamatan dan individu yang disyaki anggota kartel.

Menurut kerajaan, hanya seorang daripada jumlah itu merupakan orang awam, namun penduduk dan pelancong terpaksa berlindung apabila kumpulan bersenjata kartel menyekat jalan raya di 20 daripada 32 negeri Mexico serta membakar kenderaan dan premis perniagaan.

“Rasanya seperti berada di zon perang,” kata Javier Perez, 41, seorang jurutera, kepada AFP pada Selasa di tempat letak kereta sebuah pasar raya yang dipenuhi kereta hangus di pusat peranginan pelancongan Puerto Vallarta, Jalisco.

Imej kekacauan dan keganasan itu tersebar ke seluruh dunia kurang daripada empat bulan sebelum bermulanya Piala Dunia.

Sebelum itu, Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum, memberi jaminan bahawa tiada risiko kepada peminat Piala Dunia dan berkata keadaan beransur-ansur kembali pulih.

Guadalajara, ibu negeri Jalisco, dijadualkan menjadi tuan rumah empat perlawanan peringkat kumpulan.

Mexico City dan bandar Monterrey di timur laut negara itu turut menjadi tuan rumah perlawanan dan kedua-duanya tidak terjejas oleh keganasan baru-baru ini.

Selain empat perlawanan tersebut, termasuk salah satu perlawanan paling dinanti pusingan pertama antara Uruguay dan Sepanyol, Guadalajara akan bersama Monterrey menjadi tuan rumah kejohanan playoff yang menentukan dua pasukan terakhir layak ke Piala Dunia pada akhir Mac.

Gabenor Jalisco, Pablo Lemus, menolak kemungkinan Guadalajara digugurkan sebagai tuan rumah atas faktor keselamatan, sambil menegaskan bahawa tiada langsung risiko terhadap perubahan senarai tuan rumah.