Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Mojtaba Khamenei Dilantik Pemimpin Agung Baharu Iran
Majlis Pakar Iran melantik Mojtaba Khamenei, anak kepada Ayatollah Ali Khamenei sebagai pemimpin tertinggi baharu negara itu pada Ahad lalu.
AFP melaporkan pelantikan itu turut disertai ugutan daripada Amerika Syarikat (AS) dan Israel.
Keputusan itu dibuat sembilan hari selepas serangan gabungan AS-Israel yang mengorbankan Ali Khamenei serta mencetuskan konflik di Timur Tengah apabila Majlis Pakar bersidang bagi memilih pengganti kepimpinan negara tersebut.
Dalam satu kenyataan, Majlis Pakar memaklumkan Mojtaba, 56, dipilih sebagai pemimpin ketiga Iran selepas memperoleh undi muktamad daripada wakil majlis berkenaan.
Menurutnya, Majlis Pakar “tidak teragak-agak walaupun seminit” dalam memilih pemimpin baharu walaupun berdepan “pencerobohan oleh AS dan Israel".
Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sebelum ini menolak Mojtaba sebagai “tidak berwibawa” dan menegaskan beliau sepatutnya mempunyai suara dalam pelantikan pemimpin baharu Iran itu.
“Jika beliau tidak mendapat kelulusan kami, beliau tidak akan bertahan lama,” katanya kepada ABC News sebelum pengumuman itu dibuat.
Bagaimanapun, diplomat tertinggi Tehran pada Ahad menegaskan keputusan tersebut adalah hak mutlak Iran dan negara itu tidak akan membenarkan sesiapa pun campur tangan dalam urusan dalaman.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi menuntut Presiden AS, Donald Trump supaya memohon maaf kepada rakyat rantau berkenaan kerana memulakan peperangan.
Mojtaba pula dianggap sebagai tokoh konservatif, terutama berikutan hubungannya dengan Pengawal Revolusi, sayap ideologi ketenteraan Iran.
Di samping itu, tentera Israel sebelum ini memberi amaran kepada mana-mana pengganti bahawa mereka “tidak akan teragak-agak untuk menjadikannya sebagai sasaran”.
AFP melaporkan Israel melancarkan serangan ke atas lima kemudahan minyak di dalam dan sekitar Tehran, mengorbankan sekurang-kurangnya empat individu serta mencetuskan kebakaran besar yang memenuhi ruang udara dengan asap beracun.
Gabenor Tehran memaklumkan kepada Agensi Berita Republik Islam (IRNA) bahawa pengagihan bahan api di ibu negara itu “terganggu buat sementara waktu”.
Bandar yang didiami kira-kira 10 juta penduduk itu diselubungi jerebu tebal yang menghalang cahaya matahari, manakala bau bahan api terbakar masih berlegar di udara.
Dalam pada itu, pihak berkuasa memberi amaran bahawa asap tersebut berpotensi toksik dan menggesa orang ramai supaya kekal berada di dalam rumah, namun banyak tingkap kediaman dilaporkan pecah akibat letupan.
“Kebakaran berterusan lebih 12 jam, udara tidak boleh dihirup. Saya tidak dapat keluar untuk membeli barang keperluan
“Sejak semalam, orang ramai mengatakan tiada petrol di stesen minyak,” kata seorang penduduk Tehran berusia 35 tahun.
Ketika perang memasuki hari kesembilan, Pengawal Revolusi Iran memaklumkan mereka mempunyai bekalan mencukupi untuk meneruskan peperangan menggunakan dron dan peluru berpandu di Timur Tengah sehingga enam bulan.
Sementara itu, beberapa letupan dilaporkan kedengaran di pusat komersial Israel, Tel Aviv, selepas tentera rejim Zionis memaklumkan mereka mengesan serangan peluru berpandu dari Iran.
Perkhidmatan kecemasan Magen David Adom pula melaporkan enam individu cedera di tengah Israel.