Perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya kendalian Rapid KL kembali beroperasi secara berperingkat bermula 9.32 pagi tadi selepas gangguan akibat sebuah tren mengalami masalah sistem brek di stesen Jalan Ipoh.
Rapid KL memaklumkan, perkhidmatan tren alternatif yang diaktifkan sepanjang tempoh gangguan kini dihentikan.
Menurutnya, frekuensi tren turut diselaraskan secara berperingkat bagi memastikan operasi kembali stabil.
“Rapid KL memohon maaf atas kesulitan yang dialami penumpang sepanjang gangguan berkenaan dan menghargai kesabaran serta kerjasama yang diberikan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, Rapid KL memaklumkan MRT Laluan Putrajaya mengalami kelewatan selepas sebuah tren tidak dapat bergerak akibat masalah sistem brek di stesen Jalan Ipoh.
Susulan kejadian itu, pasukan operasi mengaktifkan perkhidmatan tren alternatif bagi membantu pergerakan penumpang.
Pasukan teknikal turut dihantar ke lokasi untuk memeriksa sistem yang terjejas serta menjalankan kerja-kerja baik pulih.


